BANGKOK: Malaysia mengesahkan komitmennya terhadap usaha kolaboratif dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberi tumpuan kepada perkongsian di seluruh rantau Asia-Pasifik, dengan memanfaatkan kekuatan serantau,

Komitmen itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib dalam kenyataan negara pada Forum Pembangunan Mampan Asia-Pasifik ke-11 (APFSD ke-11.

Ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Pusat SDG Nasional, Kementerian Ekonomi Asfaazam Kasbani.

Beliau menekankan mengenai keperluan mendesak untuk menangani kemiskinan yang diburukkan lagi oleh pelbagai krisis termasuk pandemik COVID-19 yang mengakibatkan peningkatan kemiskinan mutlak negara.

Dalam mendepani cabaran itu, beliau berkata, Malaysia telah mencapai kemajuan ketara dalam mengurangkan kemiskinan tegar melalui inisiatif seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat dan Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) yang memberi tumpuan kepada meningkatkan pendapatan dan memperkemas penyampaian bantuan.

"Malaysia akan meningkatkan usaha membasmi kemiskinan melalui pendekatan komprehensif, campur tangan dasar dan program perlindungan sosial yang lebih baik," katanya.

Dalam mengharungi pelbagai krisis, Hanifah berkata, Malaysia komited untuk menerima pakai penyelesaian yang berdaya tahan dan mampan serta menyepadukan dimensi alam sekitar, sosial dan ekonomi.

Beliau berkata, Malaysia menggesa supaya sokongan dan bantuan untuk negara membangun dipertingkat melalui pembiayaan yang mencukupi, pengetahuan teknikal, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti.

"Pencapaian SDG memerlukan kerjasama serantau yang kukuh dan perkongsian transformatif untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia menyokong penggunaan penyelesaian inovatif dan teknologi digital untuk menangani cabaran pembangunan, meningkatkan produktiviti dan menggalakkan pertumbuhan inklusif.

"Inisiatif seperti Pusat Digital Ekonomi Malaysia (PEDi) akan merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan," katanya. - BERNAMA