CANBERRA: Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menggesa Amerika Syarikat dan Iran untuk segera kembali ke meja rundingan bagi menamatkan peperangan yang semakin meruncing di Asia Barat serta ketegangan di sekitar Selat Hormuz.
Dalam kenyataan pada Selasa, beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan yang menjejaskan kebebasan pelayaran di laluan strategik itu perlu dihentikan serta-merta kerana ia boleh membawa kesan besar kepada ekonomi global.
Advertisement
Menurutnya, usaha diplomasi adalah satu-satunya jalan bagi mengelakkan konflik daripada terus merebak.
“Kami amat bimbang dengan perkembangan di rantau ini. Semua pihak mesti menurunkan suhu konflik dan kembali ke meja rundingan.
"Tindakan menghalang kapal komersial atau meningkatkan ketegangan ketenteraan hanya akan memburukkan keadaan,” katanya.
Von der Leyen turut menegaskan bahawa kenaikan harga minyak dan gas yang direkodkan sejak bermulanya pertempuran menunjukkan betapa rapuhnya rantaian tenaga global ketika ini.
Justeru, penyelesaian politik yang berkekalan perlu dicapai segera bagi meminimumkan risiko gangguan ekonomi yang lebih besar.
“Kestabilan rantau ini sangat penting. Hanya penyelesaian diplomatik boleh menjamin keselamatan, mengurangkan ketidakpastian pasaran dan mengelakkan impak lebih buruk kepada ekonomi dunia,” katanya.