Malaysia sambut baik keputusan ICJ isu Palestin, gesa Israel bertanggungjawab

Kementerian menegaskan tindakan Israel menyekat dan menghalang bantuan kemanusiaan termasuk operasi UNRWA jelas melanggar obligasinya sebagai kuasa pendudukan di bawah undang-undang antarabangsa. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengiktiraf peranan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di wilayah Palestin yang diduduki termasuk Gaza.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pendapat yang dikeluarkan ICJ pada Rabu itu berkaitan kewajipan Israel terhadap kehadiran dan aktiviti PBB serta pertubuhan antarabangsa lain.
“Malaysia mengalu-alukan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mengesahkan peranan penting PBB.
“Khususnya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk di Gaza,” menurut kenyataan itu.Kementerian menegaskan tindakan Israel menyekat dan menghalang bantuan kemanusiaan termasuk operasi UNRWA jelas melanggar obligasinya sebagai kuasa pendudukan di bawah undang-undang antarabangsa.
“Ini juga termasuk obligasinya untuk menghormati larangan penggunaan taktik kebuluran terhadap orang awam sebagai senjata peperangan,” tambah kenyataan itu lagi.
ICJ dalam pendapatnya turut menegaskan bahawa Israel mempunyai tanggungjawab untuk melindungi semua petugas kemanusiaan dan perubatan serta bekerjasama dengan PBB tanpa prasangka.
“Israel perlu memastikan premis dan aset UNRWA tidak dicerobohi, serta menghormati hak keistimewaan dan kekebalan yang diberikan kepada PBB seperti termaktub dalam Konvensyen Keistimewaan dan Kekebalan PBB 1946,” jelas Wisma Putra.
Menurut kenyataan itu lagi, pendapat nasihat tersebut turut mengesahkan hujah-hujah perundangan yang telah dikemukakan Malaysia melalui kenyataan bertulis pada 28 Februari dan kenyataan lisan pada 28 April lalu di ICJ.
“Malaysia menyeru agar Pendapat Nasihat ini dilaksanakan segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza.
"Malaysia menegaskan Israel mesti dikenakan akauntabiliti atas kekejaman serta pencabulan undang-undang antarabangsa yang berterusan,” katanya lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami