PUTRAJAYA: Penubuhan Majlis Kepimpinan Presiden (PLC) di Yaman baru-baru ini merupakan langkah positif ke arah mencari penyelesaian politik dan damai yang komprehensif terhadap pemberontakan Houthi di negara itu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Malaysia menyambut baik PLC yang dimulakan oleh Kerajaan Arab Saudi dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Malaysia juga menyokong penuh inisiatif Perwakilan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yaman termasuk perjanjian gencatan senjata baru-baru ini antara Kerajaan Yaman dan Houthi.

"Ini petanda baik untuk menamatkan permusuhan dan akses tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan kepada penduduk Yaman.

"Malaysia mengulangi sokongannya untuk penyelesaian inklusif dan aman bagi konflik di Yaman melalui dialog dan rundingan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah bahawa Malaysia khuatir terhadap konflik yang berpanjangan dan menggesa pihak berkenaan menghormati hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pada 7 April, Presiden Yaman Abd-Rabbu Mansour Hadi mengeluarkan dekri mengenai penubuhan PLC untuk menggantikannya dalam mentadbir kerajaan dan mengadakan rundingan damai dengan Houthi.

Hadi mengambil alih kuasa pada 25 Feb 2012 selepas Allahyarham Presiden Ali Abdullah Saleh digulingkan oleh kebangkitan rakyat.

-- BERNAMA