MALAYSIA
Malaysia sasar eksport produk landskap RM500 juta ke Singapura menjelang 2026 - Nga

Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor (dua, kanan) berkenan menyempurnakan Perasmian Hari Landskap Negara 2025 di Taman Bandar Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang hari ini. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Malaysia menyasarkan nilai eksport produk landskap ke Singapura sebanyak RM500 juta menjelang 2026 menerusi kerjasama strategik dua hala merangkumi pelbagai sektor, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata sasaran itu diyakini mampu dicapai hasil perancangan rapi serta hubungan diplomatik yang kukuh antara kedua-dua negara.
"Oleh itu, potensi ini perlu digilap dan dirancakkan bersama. Saya akan ke Singapura untuk bertemu rakan sejawat bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor landskap dan pembangunan bandar," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Landskap Negara 2025, yang disempurnakan oleh isteri Pemangku Sultan Johor, Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Nga berkata antara pemimpin yang akan ditemuinya di Singapura ialah rakan sejawatnya, Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat dan bekas Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee yang kini merupakan Menteri Pendidikan.
Beliau berkata MoU tersebut bukan sahaja membabitkan industri landskap, tetapi turut merangkumi kerjasama strategik dalam pembangunan bandar pintar, perumahan, pembaharuan semula bandar, taman awam serta konsep rumah pintar.
"MoU ini adalah kesinambungan daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong ke Malaysia baru-baru ini dan membabitkan pelbagai sektor utama di bawah kementerian saya," katanya.
Johor dijangka menjadi penerima manfaat terbesar hasil kerjasama tersebut, memandangkan kelebihan logistik dan kedudukan strategik negeri itu.
Menurutnya, Johor merupakan negeri dengan bilangan tapak semaian tertinggi di Malaysia, merangkumi 87 peratus daripada keseluruhan tapak semaian negara, dan menjadi pembekal utama tanaman landskap, khususnya dari kawasan Muar dan Batu Pahat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri, termasuk Johor, bagi memperluas pembangunan landskap berkualiti tinggi.
"Kita salur RM14.5 juta kepada Johor bagi 128 projek taman awam, bukti komitmen kerajaan sediakan kemudahan landskap berimpak tinggi," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami