KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk menawarkan akses kepada penyelesaian rawatan berkesan dan mampu bayar bagi mereka yang menghidap Hepatitis C.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan kelulusan bersyarat diberikan kepada negara dan pertama di dunia untuk kombinasi ubat Ravidasvir dengan Sofosbuvir.

“Sebagai respons kepada tema Hari Hepatitis Dunia 2021, “Hepatitis Can’t Wait”, Malaysia kini bersedia dan sangat teruja untuk melangkah ke hadapan bagi memberikan penyelesaian rawatan kepada mereka yang dijangkiti penyakit ini.

“Ini sejajar dengan misi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengurangkan penularan jangkitan virus hepatitis baharu sebanyak 90 peratus dan mengurangkan kematian disebabkan virus hepatitis sebanyak 65 peratus menjelang tahun 2030.

“Malaysia menawarkan rawatan kepada pesakit Hepatitis C dengan kadar kesembuhan sebanyak 97 peratus dan pengurangan kos sebanyak 95 peratus,” katanya pada majlis perasmian Destinasi Rawatan untuk Hepatitis C, sempena insigHT2021, di sini, pada Selasa. 


Malaysia Healthcare | Malaysia sedia jadi hab rawatan Hepatitis C Asia

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahah Abdullah; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pihaknya komited dalam menjayakan penawaran rawatan baharu tersebut.

“Melalui kepakaran kami dalam bekalan, logistik dan pengedaran Ubat Hepatitis C kepada Hospital Ahli MHTC, kami berasa bangga dapat memberikan sumbangan kepada matlamat bersama Malaysia dan WHO untuk menghapuskan Hepatitis C menjelang tahun 2030.

“Dalam mewujudkan akses kepada rawatan bagi pesakit tempatan dan antarabangsa yang memerlukan, kami berkongsi wawasan ‘Memperteguh Daya Tahan’, sekali gus menggerakkan lagi industri pelancongan perubatan ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Mohd Daud Mohd Arif berkata, insigHT2021 adalah persidangan antarabangsa yang diadakan secara maya selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 November 2021.

“Bertemakan ‘Memperteguh Daya Tahan’, persidangan kali ini akan mengemukakan pandangan strategi pemulihan pascapandemik dan peluang daya tahan industri dengan topik seperti pengimejan semula sistem kesihatan, masa depan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, serta membina semula hospitaliti disampaikan pakar industri tempatan dan antarabangsa.

“insigHT telah memainkan peranan yang penting sebagai sebuah platform untuk mencipta hasil yang ketara dan bernilai, yang akan memberikan manfaat kepada peserta industri dan pelancong kesihatan.

"Setelah melalui keperitan pandemik, usaha untuk mengoptimumkan platform seperti ini menjadi semakin penting pada hari ini untuk mencergaskan semula industri kita,” ujarnya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM) Berhad, Imri Mokhtar pula menambah, pihaknya teruja menjadi Rakan Kongsi Digital persidangan itu untuk kali ketiga berturut-turut. 

"Ini selaras dengan komitmen TM untuk memperkasakan peserta industri penjagaan kesihatan melalui penyelesaian digital hujung ke hujung yang akan membolehkan mereka melangkah ke hadapan di tengah-tengah cabaran global.

"Perkhidmatan digital seperti penerapan pantas teleperubatan, kesihatan pintar dan infrastruktur digital adalah penting untuk melestarikan dan membangunkan industri pelancongan perubatan," jelasnya.