KUALA LUMPUR: Malaysia sudah tentunya terbuka bagi perniagaan walaupun sempadan negara mungkin sebahagian besarnya masih lagi ditutup buat masa ini, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata semasa tempoh pandemik ketika ini selain berdepan cabaran, negara juga turut merebut peluang yang tersedia.

"Jelas bahawa peluang untuk membina semula ekonomi dan masyarakat kita kepada keadaan yang lebih baik berbanding era sebelum pandemik COVID-19 adalah amat besar.

"Meskipun sempadan kami mungkin sebahagian besarnya masih lagi ditutup buat masa ini, ingin saya tegaskan bahawa Malaysia sudah tentunya terbuka bagi perniagaan," katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Perangkaian Pemulihan Negara pada Expo 2020 Dubai.

Muhyiddin berkata tawaran nilai Malaysia kepada pelabur adalah padu dengan ekosistem pelaburan yang kukuh manakala kemudahan menjalankan perniagaan semakin bertambah baik dan negara kini sedang berada di landasan pemulihan daripada pandemik.

"Selain itu, infrastruktur fizikal dan digital kami sentiasa dinaik taraf, kami juga memiliki tenaga kerja mahir yang besar, institusi yang kukuh, asas ekonomi yang lebih baik yang diiktiraf dunia.

"Sebagai pengerusi MPN yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui usaha pemulihan pasca pandemik, majlis ini akan merangka pelan tindakan yang dipanggil Pelan Pemulihan Negara 2.0, yang meneruskan strategi keluar daripada pandemik Pelan Pemulihan Negara sebelum ini dalam empat fasa yang dimuktamadkan pada Disember 2021," katanya.

Pelan Pemulihan Negara 2.0 akan berusaha melakar landasan pemulihan yang inklusif dan bersistematik yang akan membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi, bangkit kembali dengan lebih kukuh berbanding sebelum pandemik, katanya.

Justeru, beliau berharap lebih banyak perniagaan akan melabur di Malaysia dan syarikat Malaysia meneroka peluang bukan sahaja di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tetapi juga di seluruh Majlis Kerjasama Teluk.

"Marilah kita berkongsi takdir bersama bagi masa depan yang lebih bermakna bagi kita, bukan sahaja semasa pandemik tetapi juga semasa era endemik dan melangkaui daripadanya,"katanya.

-- BERNAMA