Skip to main content

Hiburan

Siti Nurhaliza raih pengiktirafan Asean Records, Asia Records

Siti Nurhaliza (kanan) menerima dua pengiktirafan berkenaan yang disampaikan oleh Penasihat Rekod Asean dan Asia, Abdul Latiff Abu Bakar. - Gambar Astro GEMPAK
Siti Nurhaliza (kanan) menerima dua pengiktirafan berkenaan yang disampaikan oleh Penasihat Rekod Asean dan Asia, Abdul Latiff Abu Bakar. - Gambar Astro GEMPAK

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, terus mengharumkan nama Malaysia di persada serantau apabila menerima pengiktirafan daripada Asean Records dan Asia Records hasil kejayaan penganjuran Konsert Legacy 30 dan Konsert Tradisional Gema Bumantara.

Pengiktirafan itu diberikan susulan kejayaan kedua-dua konsert berkenaan menarik kehadiran keseluruhan 145,000 penonton dalam tempoh 10 bulan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Siti sebagai antara figura muzik paling berpengaruh di rantau ini.

Siti Nurhaliza menerima pengiktirafan berkenaan pada Majlis Malam Apresiasi Meraikan Kejayaan Konsert Legacy 30 dan Konsert Tradisional Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, Bukit Kiara, di sini, malam tadi.

Advertisement

Pengiktirafan pertama diberikan bagi kategori Jumlah Kehadiran Gabungan Tertinggi bagi Dua Konsert Solo di Stadium oleh Artis Rakaman Berbahasa Melayu selepas Konsert Legacy 30 dan Gema Bumantara menghimpunkan seramai 145,000 penonton.

Daripada jumlah itu, Konsert Legacy 30 yang berlangsung pada 10 Januari lalu merekodkan kehadiran 72,000 penonton, manakala Konsert Gema Bumantara pada 17 Oktober lalu menarik 73,000 peminat.

Advertisement

Sementara itu, Gema Bumantara turut melayakkan Siti Nurhaliza menerima pengiktirafan dalam kategori Konsert Muzik Tradisional Solo Terbesar dan Paling Ramai Dihadiri oleh Artis Rakaman Wanita.

Pencapaian tersebut turut membuktikan kemampuan Siti Nurhaliza mengangkat muzik tradisional ke pentas berskala mega apabila Gema Bumantara mempersembahkan 34 lagu tradisional dalam persembahan yang berlangsung lebih tiga jam 30 minit.

Kejayaan itu bukan sahaja mencerminkan sokongan luar biasa peminat terhadap perjalanan seni beliau, malah memperlihatkan muzik tradisional dan warisan Nusantara masih mempunyai tempat dalam kalangan masyarakat apabila dipersembahkan menerusi produksi bertaraf tinggi.

Dua pengiktirafan berkenaan disampaikan Penasihat Rekod Asean dan Asia, Tan Sri Profesor Abdul Latiff Abu Bakar.

Hadir sama memeriahkan Majlis Malam Apresiasi itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Majlis berkenaan turut menjadi medan penghargaan kepada barisan pemuzik, tenaga produksi dan kru di belakang tabir yang memainkan peranan penting dalam menjayakan Konsert Legacy 30 dan Gema Bumantara. 

Turut hadir ialah beberapa rakan artis yang terbabit dalam kedua-dua konsert berkenaan termasuk Noh Salleh, Hafiz Suip, Haziq Rosebi, Umairah dan Odda.

Must Watch Video

Advertisement