MALAYSIA
Malaysia, Singapura jalin kerjasama penyelamatan libatkan kapal selam

Khaled (dua, kanan) menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing sempena lawatan rasminya ke Malaysia di Wisma Pertahanan di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura hari ini menjalinkan kerjasama untuk memperkukuh keupayaan penyelamatan kecemasan kapal selam (SMER) antara kedua-dua negara.
Ringkasan AI
- Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian untuk memperkukuh keupayaan penyelamatan kecemasan kapal selam (SMER), melibatkan perkongsian kepakaran, peralatan dan tindakan pantas semasa bencana.
- Markas Angkatan Kapal Selam TLDM dan TLRS dilantik sebagai agensi utama, dengan kawasan liputan meliputi Laut China Selatan, Selat Singapura dan Selat Melaka bagi menjamin keselamatan maritim serantau.
- Kerjasama ini merangkumi pertukaran maklumat operasi dan penyelarasan prosedur yang seragam, bagi memastikan koordinasi penyelamatan lebih pantas dan berkesan semasa insiden sebenar berlaku.
"Berasaskan kepada semangat ASEAN dan Singapura pula negara jiran, maka wajar kita mempunyai kerjasama sebegini," katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing sempena lawatan rasminya ke Malaysia di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata tidak banyak negara ASEAN mempunyai kapal selam selain daripada Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Terdahulu, Mohamed Khaled dan Chan menyaksikan majlis menandatangani Pengaturan Antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Singapura untuk Sokongan dan Kerjasama Bersama Kapal Selam.
Dokumen itu ditandatangani Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Laut Singapura (TLRS) Laksamana Madya Sean Wat.
Mohamed Khaled berkata sebagai negara jiran yang berkongsi laluan perairan strategik, kerjasama itu membolehkan Malaysia dan Singapura bertindak dengan lebih cepat, tersusun dan berkesan apabila menghadapi sebarang situasi kecemasan kapal selam.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut dalam kenyataan hari ini memaklumkan Markas Angkatan Kapal Selam TLDM dan TLRS ditetapkan sebagai agensi utama yang bertanggungjawab dalam penyeliaan dan pelaksanaan inisiatif terbabit selain Penyelaras Penyelamat Negara daripada kedua-dua negara juga akan dilantik bagi memastikan komunikasi dan pelaksanaan operasi berjalan lancar.
"Kawasan liputan operasi turut dikenal pasti meliputi perairan utama seperti Laut China Selatan, Selat Singapura dan Selat Melaka... Ini akan memastikan keupayaan penyelamatan dapat dilaksanakan di laluan maritim yang penting bagi keselamatan serantau dan perdagangan antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan melalui kerjasama berkenaan, kedua-dua negara komited untuk menyediakan bantuan penyelamatan terhadap sebarang insiden melibatkan kapal selam yang menghadapi kecemasan selain akses kepada sistem SMER yang lengkap dan rangka kerja operasi terkini turut memperkukuh kesiagaan pasukan dalam melaksanakan operasi berisiko tinggi.
Kerjasama itu turut melibatkan pertukaran data teknikal dan maklumat operasi antara kedua-dua pihak, malah dengan penyelarasan sistem serta prosedur yang lebih seragam akan membolehkan koordinasi operasi dilaksanakan secara lebih pantas dan berkesan semasa insiden sebenar berlaku.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami