Malaysia dan Singapura hari ini membuat penegasan semula akan komitmen mereka untuk meningkatkan ekonomi digital masing-masing serta mencari kaedah yang dapat melonjakkan inovasi serta menggalakkan pertumbuhan industri ICT.

Kedua-dua negara membuat penegasan semula itu pada mesyuarat kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia dan Singapura mengenai Maklumat dan Komunikasi di sini yang dihoskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Mesyuarat sehari itu turut menyaksikan kedua-dua negara membuat penegasan komitmen untuk bekerja bersama dalam program pertukaran wartawan dan penempatan sementara penterjemah yang bertujuan merapatkan lagi hubungan di antara anggota media dan agensi penyiaran kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan di sini, kementerian berkata mesyuarat turut membincangkan matlamat dan berkongsi maklumat mengenai kegiatan negara masing-masing termasuk pertukaran berita, komunikasi kerajaan, teknologi digital dan piawaian bagi perlindungan data peribadi.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor sementara Singapura pula diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Komunikasi dan Maklumat Gabriel Lim.

Dalam kenyataan itu, Mohd Ali berkata dengan pembangunan pesat dunia komunikasi dan globalisasi, amat penting bagi kedua-dua negara bekerja bersama berkongsi pengetahuan dan sumber untuk menjadi antara negara yang mempunyai kelebihan daya saing yang tinggi pada sepanjang masa.

Lim yang berkongsi pandangan serupa, berkata semua yang dibincangkan hari ini adalah isu-isu utama yang akan mempunyai kesan material ke atas dasar-dasar kedua-dua negara pada masa depan.

"Berkongsi pandangan dan pendapat mengenai isu-isu terbabit akan membantu kami untuk memberi respons yang lebih baik dan berkesan," katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut turut menyatakan Menteri berkenaan Gobind Singh Deo dan rakan sejawatannya dari Singapura akan menghadiri Muzika Ekstravaganza (Muzika) ke-12 bertemakan #kitageng, bagi meraikan persahabatan, malam esok.

Program yang dijangka menampilkan artis-artis dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Mediacorp Singapore akan disiarkan secara serentak oleh Mediacorp Suria dan RTM2 pada 9 malam esok.

Muzika yang merupakan penerbitan bersama varieti tahunan itu mencerminkan kerjasama kukuh sejak sekian lama di antara Malaysia dan Singapura dalam bidang infokomunikasi serta media.

--BERNAMA