Skip to main content

Malaysia

Malaysia sokong usaha damai Selatan Thailand, alu-alukan pelantikan ketua dialog baharu

Kuala Lumpur , 14 Julai 2026. Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberikan momento kepada  rakan sejawat Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen  berikutan lawatan rasmi dan kunjungan hormat Menteri Pertahanan Thailand di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Mohamed Khaled bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Thailand Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen ketika mengadakan pertemuan sempena lawatan pengenalan Adul di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan sokongan terhadap usaha menstabilkan wilayah Selatan Thailand dengan mengalu-alukan pelantikan Thanut Suvarnananda sebagai Ketua Dialog Damai Selatan Thai bagi kerajaan Thailand yang baharu awal tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelantikan Thanut diharap dapat menjayakan usaha damai berkenaan menerusi kerjasama erat yang akan disalurkan Malaysia.

"Pihak Thailand telah memaklumkan mengenai pelantikan ketua dialog damai di Selatan Thai dan kita mengalu-alukan pelantikan ini.

“Kita menyokong usaha supaya kawasan Selatan Thai ini dalam keadaan aman. Kita sokong usaha itu dan dengan pelantikan yang baharu kita berharap kita dapat jayakan dan mencapai matlamat yang kita harapkan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan rasmi Menteri Pertahanan Thailand Lt Jen Adul Boonthumjaroen di sini hari ini.

Ketika ini, fasilitator kerajaan Malaysia bagi Dialog Damai Selatan Thailand ialah Datuk Rabin Basir.

Mengenai insiden keselamatan di kawasan bergolak itu, beliau menegaskan bahawa peranan Malaysia hanya terbatas kepada usaha membantu membawa proses keamanan, manakala tindakan ketenteraan dan keselamatan domestik adalah di bawah kedaulatan penuh negara jiran.

Mohamed Khaled juga berkata beliau dan rakan sejawatnya itu bersetuju untuk mempertingkatkan usaha mengekang aktiviti penyeludupan selain menyekat pergerakan keluar masuk anasir subversif di sempadan kedua-dua negara yang dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Malaysia-Thailand.

Beliau berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat GBC Ke-57 pada tahun ini, yang dijangka membincangkan pelbagai isu termasuk keselamatan sempadan, operasi bersama angkatan tentera, pembangunan sosioekonomi kawasan sempadan dan pengurusan bencana.

Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa Malaysia menyokong komitmen berterusan Thailand untuk menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja secara bilateral menerusi konsep 'the ASEAN way' yang mengutamakan perbincangan secara aman.

Beliau berkata perkara berkenaan juga telah diserahkan kepada Filipina sebagai Pengerusi ASEAN 2026 dengan harapan negara itu dapat memainkan peranan yang sewajarnya bagi meredakan sebarang ketegangan serantau. 

Selain itu, pertemuan berkenaan turut menyelaraskan pendirian bersama antara kedua-dua negara bagi menghadapi mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus yang akan diadakan di Filipina.

Menurut beliau, Malaysia dan Thailand turut bersetuju untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun ini sebagai langkah memperkukuh keselamatan serantau serta memperluas kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan tempatan kedua-dua negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement