MALAYSIA
Malaysia sokong usaha global ke arah penubuhan negara Palestin

Mohamad berkata Malaysia menyambut baik perubahan pendirian masyarakat antarabangsa untuk mengecam Israel. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik konsensus antarabangsa yang semakin meningkat untuk mengecam Israel dan menyokong usaha ke arah penubuhan negara Palestin.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara yang diadakan baru-baru ini di New York telah mendapat sokongan meluas terhadap penyelesaian dua negara.
Persidangan itu turut menggesa agar bantuan kemanusiaan disalurkan dengan segera dan berterusan, selain langkah-langkah sokongan lain.
"Kami menyambut baik perubahan pendirian masyarakat antarabangsa untuk mengecam Israel dan beralih kepada langkah-langkah pragmatik dan berorientasikan tindakan bagi menyelesaikan isu penubuhan negara Palestin," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Terdahulu, laporan media antarabangsa menyatakan United Kingdom dan Perancis merupakan antara negara terbaharu yang sedang bersedia untuk mengiktiraf Negara Palestin secara rasmi.
Setakat ini, lebih 145 negara telah memberikan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin.
Sementara itu, Malaysia sekali lagi mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan rejim Zionis Israel di Gaza dan menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Mohamad berkata malapetaka kemanusiaan yang berterusan di Gaza susulan genosid dan pembersihan etnik oleh Israel telah mengorbankan lebih 60,000 rakyat Palestin, mencederakan hampir 150,000 orang dan menyebabkan 1.9 juta penduduk dipaksa berpindah akibat serangan yang berterusan.
Beliau berkata sekatan yang berterusan telah menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan, menyebabkan kekurangan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan yang kritikal, serta menimbulkan kebimbangan mendesak mengenai kebuluran dengan ribuan orang, khususnya kanak-kanak kini menghadapi kelaparan.
"Kami juga amat bimbang dengan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku dan disaksikan dunia dalam senyap sejak 22 bulan lalu.
"Malaysia sekali lagi menegaskan dengan sekeras-kerasnya bahawa rejim Zionis Israel mesti menghentikan pembunuhan, menghentikan semua cubaan pemindahan paksa terhadap rakyat Palestin, serta segera menamatkan semua sekatan akses bantuan kemanusiaan dan memastikan bantuan disampaikan tanpa halangan.
"Kegagalan Israel merupakan satu pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Mohamad menggesa siasatan dijalankan terhadap pembunuhan kejam lebih 1,300 rakyat Palestin yang sedang beratur untuk menerima bantuan daripada Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) sejak akhir Mei tahun ini.
"Pembunuhan ini sangat tidak masuk akal dan mesti disiasat, serta pihak yang bertanggungjawab mesti dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.
Mohamad berkata Malaysia menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi dengan rakyat Palestin dan hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan nasib sendiri.
"Kami tetap teguh menyokong penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami