KUALA LUMPUR: Nilai perpaduan, keterangkuman dan kebersamaan bangsa serta etnik di Malaysia menjadi kekuatan untuk rakyat terus hidup secara harmoni, aman sejahtera tanpa sebarang konflik.

Berkongsi semangat semarak uniti, pengamal media, Usharani Saminathan berkata, Malaysia sudah mencapai tahap perpaduan yang baik ketika ini dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan apabila menyentuh tentang uniti rakyat.

“Meskipun terdapat segelintir kumpulan yang tidak bertanggungjawab dalam membuat provokasi atau bertujuan mengeruhkan keadaan, namun situasi itu adalah kes terpencil.

“Ia boleh diselesaikan secara aman dan tidak perlu dihebohkan kerana disifatkan terlalu kecil,” katanya ketika menjadi salah seorang panel dalam program Sembang Kita terbitan Astro AWANI pada Rabu.

Menyokong terhadap kebersamaan rakyat Malaysia, pelajar institusi pengajian tinggi awam, Haikal Raman berkata, meskipun kita hidup dalam masyarakat berbilang bangsa… formula ART iaitu menerima (acceptance), menghormati (respect) dan toleransi (tolerate) menjadi ramuan penting kesejahteraan negara.

Sembang Kita: (Episod 2) Semangat perpaduan, semarak uniti

“Ketiga-tiga asas (pillar) ini perlu bergerak seiring kerana tanpa salah satu daripada elemen berkenaan sebuah nilai perpaduan tidak dapat dicapai sama sekali.

“Dalam semangat pembinaan negara dan membangunkan sebuah bangsa Malaysia, kita perlu menerima serta menghargai (embrace) sebarang perbezaan yang wujud dengan melihat perkara tersebut dari perspektif berbeza,” ujarnya pada program sama.

Sementara itu, pekerja swasta, Nicholas Teh turut berkongsi, keharmonian kaum yang ada di Malaysia turut mengeratkan lagi hubungan baiknya dengan bangsa lain seperti Melayu dan India.

“Tiada prejudis antara kita, malah saya sudah lama hidup dalam suasana yang harmoni sejak kecil kerana kejiranan kami turut mempunyai bangsa lain… hidup bahagia bersama-sama.

“Persaudaraan yang erat ini banyak memberi kebaikan kepada kami, malah saya banyak memperkasakan dan menguasai bahasa Melayu daripada kawan-kawan berbangsa Melayu sehingga mampu berinteraksi dengan lancar,” jelasnya.

Tutup Nicolas, keterangkuman tersebut menjadikan kita sebagai sebuah negara Malaysia yang ideal!

Astro AWANI bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam menghasilkan beberapa siri Sembang Kita bagi menyemarakkan perpaduan negara.