MALAYSIA
Malaysia tandatangan Konvensyen PBB berkaitan jenayah siber Oktober ini - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution pada sesi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia kini dalam fasa menyertai Konvensyen Budapest dan akan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan jenayah siber bagi memperkukuh strategi kerjasama antarabangsa dalam menangani jenayah itu.
Ringkasan AI
- Malaysia sedang dalam proses menyertai Konvensyen Budapest dan akan menandatangani Konvensyen PBB mengenai jenayah siber untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa.
- Penyertaan ini akan membantu Malaysia dalam siasatan jenayah siber, pertukaran bukti digital, ekstradisi penjenayah dan perkongsian maklumat dengan Interpol serta FBI.
- Penandatanganan dirancang berlangsung pada Oktober di Vietnam, selari dengan komitmen KDN meningkatkan keselamatan digital rakyat.
Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin tahu bilangan kes jenayah siber dilaporkan sepanjang 2024 serta langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meningkatkan tahap keselamatan digital rakyat.
Saifuddin Nasution memaklumkan sepanjang tahun lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sebanyak 46,086 kertas siasatan antaranya membabitkan siasatan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu mekanisme menyeluruh kerajaan dalam menyekat penyalahgunaan platform digital terutama dalam aspek penjualan barangan terlarang, beliau berkata pihaknya dalam proses mengkaji penggubalan Rang Undang-Undang Jenayah Siber.
"Kita nak perluas kuasa penyiasatan dengan memasukkan peruntukan penyimpanan, pemeliharaan dan penzahiran serta kita nak kumpul dan rakam data secara masa nyata.
"Kesalahan terhadap kerahsiaan, integriti, kebersediaan data, pencerobohan sistem, pemintasan tanpa kebenaran terhadap data, banyak lagi elemennya. Sampai masa nanti KDN akan adakan libat urus, kita akan minta lagi input," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami