MALAYSIA
Malaysia tegaskan komitmen untuk perkukuh hubungan dengan Bahrain

Hubungan dua hala semakin diperkukuh menerusi libat urus peringkat tinggi dan perkongsian ekonomi.
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dengan Bahrain menerusi kerjasama lebih erat dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan, Kedutaan Besar Malaysia di Manama memaklumkan, hubungan dua hala semakin diperkukuh menerusi libat urus peringkat tinggi dan perkongsian ekonomi yang kian berkembang.
Pada 2024, perdagangan dua hala mencecah AS$260 juta, merangkumi AS$54.8 juta eksport Malaysia dan AS$205.6 juta import dari Bahrain, mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam kerjasama itu.
"Pertumbuhan ini mencerminkan kerjasama ekonomi yang kukuh serta saling menguntungkan dan terus dipupuk oleh kedua-dua negara."Melihat ke hadapan, Kedutaan Malaysia di Manama kekal komited untuk memelihara dan memperkukuh hubungan Malaysia-Bahrain," menurut kedutaan dalam kenyataan sempena Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Malaysia di Bahrain.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi Bahrain, Dr Shaikh Abdulla Ahmed Al Khalifa selaku tetamu kehormat serta dihadiri oleh Ahli Parlimen dan Timbalan Speaker Kedua Majlis Wakil Rakyat, Ahmed Abdulwaheb Qarata bersama Setiausaha Rendah Hal Ehwal Politik Kementerian Luar Bahrain, Duta Khaled Yousef Al-Jalahma.
Mengenai libat urus peringkat tinggi, kedutaan menyatakan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bahrain pada Februari lepas adalah satu pencapaian bersejarah yang menekankan kerjasama dalam bidang teknologi kewangan Islam, pendidikan dan sektor baharu seperti semikonduktor, mata wang kripto dan inovasi digital.
Menurut kedutaan sebagai refleksi kepada hubungan dinamik kedua-dua negara, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa turut melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada Mei lepas sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
Semasa lawatan itu, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian dimeterai bagi meningkatkan kerjasama dalam perundingan politik, pengurusan sumber manusia, pembangunan industri, perdagangan, kerjasama akademik dan teknologi.
Malaysia dan Bahrain turut meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka pada November 2024.
Malaysia membuka kedutaannya di Manama pada 2003, disusuli dengan pembukaan Kedutaan Bahrain di Kuala Lumpur serta penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi untuk Kerjasama Dua Hala pada 2017.
--BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami