JOHOR BAHRU: Sistem pertahanan negara menerima kira-kira 3,000 serangan siber setiap hari khususnya selepas Malaysia menyatakan sokongan terhadap Palestin, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata serangan melibatkan pelbagai pihak itu bukan sahaja bertujuan untuk mengintip pergerakan Malaysia terhadap konflik yang berlaku di Gaza itu, malah mereka turut menggodam sistem pertahanan negara.

"Jumlah serangan meningkat selepas Malaysia menyatakan pendirian dalam isu Palestin. Mereka bukan sahaja mungkin berjaya godam sistem kita, tapi yang penting mereka dapat masuk, mengintip dan mendengar selain meninjau pergerakan dan perbualan kita seperti dalam isu Palestin dan sebagainya.

"Jadi bukan sahaja (serangan) kita nampak dalam bentuk fizikal tetapi juga dalam bentuk siber sekuriti, setiap hari lebih kurang 3,000 serangan, usaha-usaha dilakukan untuk masuk dalam sistem kita oleh pelbagai pihak, siapa pihaknya tidak perlu bagi tahu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan bersama Warga Tentera Darat Malaysia di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram di sini malam ini.

Berhubung penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Rabu lepas, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan sedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Soal ini kalau ada diminta (bantuan) kita sedia bantu, tetapi soal keselamatan dalam negara bawah bidang kuasa polis. Kita percaya mereka mampu jalankan tanggungjawab untuk siasat perkara ini.

"... tetapi di peringkat kementerian, kita juga akan pertingkatkan kawalan keselamatan negara agar terus terjaga," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyantuni dua anggota yang menghuni Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa PULADA iaitu Staf Sarjan Iwot Gungkil dan Koperal Morrison Ferlix.

Beliau turut menyampaikan replika cek Peruntukan Keseluruhan Senggaraan RKAT 2024 berjumlah RM199.5 juta kepada Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

-- BERNAMA