KUALA LUMPUR: Malaysia menerima sebanyak 348 penilaian daripada 130 negara susulan pembentangan laporan negara dalam sesi Penilaian Berkala Sejagat (UPR) Keempat di Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, Januari lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata susulan itu, kementerian kini sedang berusaha untuk bertemu dan mengadakan sesi libat urus bersama dengan kementerian, agensi berkaitan serta pihak swasta.

"Dalam 348 penilaian daripada 130 negara yang kita terima, banyak juga (perkara) melibatkan pihak swasta. Pada Jun ini kita akan bawa penilaian kita, apa yang telah disebut oleh 130 negara ini, kita perlu hantar maklum balas kepada HRC di Geneva.

"Untuk makluman, UPR pada tahun 2009 kita memperoleh indeks sebanyak 60.2 peratus, ini dikira bagus kerana melebihi 50 peratus. Selain itu, UPR kedua pada 2013 kita capai indeks markah 64.7 peratus dan UPR ketiga pada 2018 tahap penilaian kita meningkat menjadi 69 peratus," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin tahu komitmen kerajaan untuk menerima dan menguatkuasakan cadangan yang dikemukakan oleh aktivis pertubuhan sivil dari pelbagai negara dalam UPR keempat Malaysia di HRC di Geneva.

Menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang ingin tahu mengenai perkara utama yang kerap dibangkitkan oleh negara-negara terlibat terhadap Malaysia, Mohamad berkata kebanyakan isu yang disentuh merangkumi pelbagai aspek berkaitan hak asasi manusia.

Beliau berkata antara perkara yang disentuh adalah buruh paksa, buruh kanak-kanak dan buruh asing, selain hak asasi berkaitan kanak-kanak, wanita, Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli, keluarga, perkahwinan, peningkatan taraf hidup, sosioekonomi serta perubatan.

Beliau berkata Malaysia juga telah mengambil maklum dan melaksanakan pelbagai usaha untuk menyelesaikan perkara-perkara yang disentuh semasa UPR ketiga pada 2018, seperti pemansuhan hukuman mati mandatori.

"Malaysia juga sudah retifikasi Protokol Buruh Antarabangsa, Protokol Organisasi 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa 2022, pinda Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dan memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri pada Mei 2023 dan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

"Selain itu, peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks media dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Kita juga buat penterjemahan instrumen hak asasi manusia daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu bagi memudahkan semua pihak untuk fahami apa yang terkandung dalam UPR," katanya.

-- BERNAMA