KUALA LUMPUR: Negara-negara yang sebelum ini dikritik kerana ketidakadilan pengagihan vaksin COVID-19 di peringkat global telah mula memperbetulkan tindakan mereka.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata ini dapat dilihat apabila negara bakal menerima sumbangan bekalan vaksin COVID-19 dari Amerika Syarikat (AS) dan China dalam tempoh terdekat.

“Sebelum ini saya telah menyuarakan ketidakadilan pengagihan vaksin di peringkat dunia dan pandangan yang sama juga telah dinyatakan oleh banyak negara membangun yang lain termasuk WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia).

“Beberapa negara sudah mula berusaha membetulkan ketidakadilan ini dengan memberi memberikan sumbangan vaksin dan kita telah menerima 1 juta dos AstraZeneca dari Jepun dan dalam tempoh terdekat kita akan menerima suntikan vaksin daripada Amerika Syarikat dan China.

“Bagi pihak rakyat Malaysia saya mengucapkan terima kasih kepada negara-negara ini,” katanya dalam video dimuat naik di Twitter, pada Sabtu.

Dalam pada itu, kata Khairy, usaha sedang dilakukan bagi memastikan vaksin CanSino yang ditempah negara akan dapat diperoleh pada bulan ini.

Ini bagi mempercepatkan vaksinasi kepada masyarakat di pedalaman, sukar dihubungi dan kumpulan pelarian untuk mendapatkan perlindungan daripada jangkitan COVID-19.

Jelasnya, vaksin satu dos itu telah terbukti selamat dan berkesan untuk diberikan kepada orang ramai.