BANGKOK: Malaysia dan Thailand bersetuju menggerakkan usaha ke arah mempercepatkan pelaksanaan projek-projek infratruktur khususnya di sempadan supaya aktiviti perdagangan dan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara dapat dipertingkatkan untuk kesejahteraan bersama.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia dan Thailand melihat kepentingan untuk memastikan projek-projek infrastruktur di sempadan diberi perhatian serius.

Projek-projek itu termasuk pembinaan Jambatan Rantau Panjang - Sungai Golok; Jambatan Pengkalan Kubor - Tak Bai; dan jajaran jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao baharu di Songkhla.

"Rundingan antara Malaysia dan Thailand bagi projek-projek ini telah tertangguh disebabkan pandemik COVID-19," katanya kepada Bernama.

Beliau menambah bahawa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya di Thailand, Prayuth Chan o-cha pada Februari lalu, setuju kedua-dua negara mempercepatkan rundingan bagi pelaksanaan projek-projek ini.

Fadillah yang kini dalam lawatan kerja ke Bangkok, Thailand telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan pada Jumaat dan Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob pada Khamis.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk berbincang usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Thailand berhubung pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang melibatkan kedua-dua buah negara.

Sementara itu, Fadillah berkata Prawit juga membangkitkan tentang pagar sempadan single barrier fencing antara kedua-dua buah negara terutamanya di Sungai Golok.

"Perkara ini akan dipanjangkan kepada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein," katanya.

-- BERNAMA