MALAYSIA
Malaysia tidak akan berkompromi dengan Goldman Sachs - Anwar

Beliau tidak pasti sama ada Malaysia akan mendapat semula USD7.5 bilion yang dipohon kepada Goldman sebagai pampasan kepada skandal tersebut. - Foto Astro AWANI
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan Goldman Sachs Group Inc berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi temubual Bloomberg Television di New York, Amerika Syarikat, Anwar berkata, bank tersebut mesti bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
Jelasnya, negara tidak akan melindungi sebarang jenayah yang dilakukan firma pelaburan itu.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada Malaysia akan mendapat semula USD7.5 bilion (RM30.4 bilion) yang dipohon kepada Goldman sebagai pampasan kepada skandal tersebut.
Menurutnya, ia mustahil apabila pengurusan tertinggi Golman Sachs tidak mengetahui situasi tersebut sedangkan perjanjian itu sedang berlangsung.
“Bond 1MDB yang ditawarkan adalah untuk memberi manfaat kepada Malaysia dan 100 peratus daripada hasil bersih daripada urusniaga telah dimasukkan ke dalam akaun 1MDB," memetik kenyataan jurucakap Goldman Sachs, Jake Siewert.
“Tidak ada satu sen pun dana tersebut disalurkan kepada mana-mana akaun yang dikawal oleh Goldman Sachs dan tidak akan dana dialih atau dipindah milik menerusi bidang kuasa kami.
“Sebaliknya, sebahagian besar dana tersebut telah dicuri untuk kebaikan pentadbiran kerajaan Malaysia dan rakan-rakan mereka. Malah, ia secara terang dan jelas bahawa anggota kerajaan dan 1MDB menipu kepada Goldman Sachs berkenaan kegunaan dana itu menerusi transaksi yang dilakukan,” memetik kenyataan itu lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami