MALAYSIA
Malaysia, Timor-Leste meterai MoU bangunkan NTI, pacu agenda kemahiran

HRD Corp dalam satu kenyataan memaklumkan NTI yang dipeloporinya adalah sebuah mekanisme strategik bagi perancangan tenaga kerja berasaskan bukti dan pertumbuhan ekonomi inklusif. - Foto HRD Corp/via bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan National Institute for Workforce Development (INDMO) Timor-Leste bagi membangunkan Indeks Latihan Nasional (NTI) pertama negara itu.
Ringkasan AI
- HRD Corp Malaysia menandatangani MoU dengan INDMO Timor-Leste bagi membangunkan Indeks Latihan Nasional (NTI) pertama negara itu.
- NTI bertujuan mengukur aktiviti latihan, mengenal pasti jurang kemahiran dan menyediakan syor dasar untuk memperkukuh tenaga kerja.
- Kerjasama ini menyokong Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dan memperkukuh transformasi tenaga kerja Timor-Leste serta hubungan serantau.
"NTI adalah satu mekanisme komprehensif yang mengukur aktiviti latihan nasional, mengenal pasti jurang kemahiran serta menyediakan syor dasar yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja.
"Penyesuaiannya untuk Timor-Leste menandakan detik bersejarah dalam pemindahan ilmu serantau, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi kerjasama ASEAN pada masa hadapan,'' menurut HRD Corp.
Menurut kenyataan itu, menerusi MoU berkenaan, HRD Corp dan INDMO akan mewujudkan penjenamaan bersama sebagai rakan strategik jangka panjang dalam transformasi kemahiran, memudah cara kerjasama penyelidikan, meneroka pelaksanaan sistem levi latihan serta bertukar program latihan, kandungan pendidikan dan kepakaran profesional melalui sebuah pasaran latihan bersama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi HRD Corp Dr Rony Ambrose Gobilee berkata pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang inklusif dan mampan telah membuktikan pembangunan kemahiran inklusif adalah asas kepada pertumbuhan negara.
"Melalui perkongsian kepakaran bersama Timor-Leste, kami bukan sahaja dapat menguatkan hubungan dua hala tetapi turut menguatkuasakan visi bersama ASEAN terhadap tenaga kerja masa hadapan.
"Timor-Leste sedang mengorak langkah berani dalam transformasi tenaga kerja. Malaysia, melalui HRD Corp berbangga untuk menyokong perjalanan ini, membantu membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing, inklusif dan berhubung di peringkat global yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada negara itu tetapi juga rantau ASEAN dan dunia," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Rony Ambrose berkata melalui kepakaran serta pengalaman Malaysia dalam pembangunan modal insan, kerjasama ini menjadi satu langkah penting dalam membina tenaga kerja Timor-Leste yang berdaya saing, inklusif dan bersedia untuk masa depan.
"Selaras dengan AYOS 2025, kerjasama ini merapatkan bakat serantau serta menetapkan penanda aras baharu dalam transformasi kemahiran, sekali gus memperkukuh visi bersama ASEAN untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, mudah alih serta berhubung di peringkat global," menurut kenyataan itu.
Selain menyokong AYOS 2025, kerjasama itu turut meletakkan Timor-Leste pada kedudukan kukuh menjelang penganjuran perhimpunan agung WorldSkills Asia (WSA) ke-10 pada tahun 2026.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami