KUALA LUMPUR: Keperluan mewujudkan mekanisme pengawalan pembiayaan litigasi pihak ketiga adalah antara inti pati perbincangan dua hala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Rendah Parlimen bagi Kementerian Kehakiman United Kingdom Mike Freer.

Azalina berkata perbicangan itu antara lain menyentuh keperluan mendesak bagi mekanisme itu diwujudkan kerana terdapat pihak tertentu yang menyalahgunakan sistem perundangan seperti proses timbang tara untuk kepentingan sendiri contohnya dalam kes tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia.

"Selain itu, kami telah membincangkan tentang undang-undang Anti-SLAPP (Tuntutan Strategik Terhadap Penyertaan Awam) pertama yang bakal diwujudkan di United Kingdom yang bermatlamat melindungi mana-mana pihak daripada tindakan individu atau syarikat yang menggunakan sistem undang-undang secara tidak wajar untuk mengganggu, menakut-nakutkan dan meletihkan pihak lawan dari segi kewangan atau psikologi," katanya.

Azalina, yang menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel 2024 di Zanzibar, Tanzania dari 4 hingga 8 Mac ini, berkata demikian dalam status yang dimuat naik di akaun Facebook hari ini.

Beliau berkata usaha sama serta perkongsian ilmu antara Malaysia dan United Kingdom mengenai Kajian Empirikal pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut dibincang pada pertemuan itu.

"Saya telah memaklumkan bahawa Kajian Empirikal berdasarkan keterangan yang mengambil kira Prinsip Shawcross dan Doktrin Pengasingan Bebas akan dijalankan di United Kingdom pada tahun ini," katanya.

-- BERNAMA