MALAYSIA
Malaysia usaha kurangkan kesan tarif AS, kekalkan daya saing industri maritim - Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berucap pada Majlis Perasmian Minggu Maritim Malaysia 2025, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyuarakan harapan supaya rundingan mengenai tarif yang sedang diadakan dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan membantu mengurangkan kesan terhadap industri maritim Malaysia dan memastikannya kekal berdaya saing.
Beliau berkata sektor maritim ketika ini menunjukkan prestasi yang baik, disokong oleh jumlah dagangan yang tinggi di pelabuhan yang dikendalikan oleh MMC Corporation Bhd dan Westports Holdings Bhd.
"Ketika ini, kita berada dalam keadaan yang baik. Jika anda lihat pelabuhan kita, masing-masing mencatatkan prestasi yang kukuh kerana jumlah dagangan telah meningkat.
"Kita juga sedang menantikan pengumuman oleh Lloyd's List pada Ogos ini yang akan mengesahkan Pelabuhan Klang berada dalam kalangan 10 pelabuhan paling sibuk di dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia di Petaling Jaya, dekat sini, Selasa.Malaysia sedang berunding mengenai tarif dengan pentadbiran Presiden Donald Trump, menjelang kemungkinan pengenaan kadar tarif sebanyak 25 peratus terhadap eksport Malaysia ke AS bermula 1 Ogos ini.
Sehubungan itu, Loke berkata kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk memanfaatkan semua saluran diplomatik yang ada untuk memperoleh perjanjian yang lebih baik dengan AS.
"Kita sedang menggunakan kelebihan diplomatik yang ada untuk merundingkan hasil yang lebih baik supaya kita dapat, mudah-mudahan, mengurangkan sebarang kesan negatif," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami