Skip to main content

Malaysia

Malaysia, WOAH perkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan haiwan

[TB]_Malaysia WOAH One Health_FB Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Chan menerima kunjungan hormat Dr Emmanuelle Soubeyran semalam. - Gambar Facebook KPKM

PUTRAJAYA: Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia  (WOAH) komited untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan haiwan, perkhidmatan veterinar, pengawasan penyakit dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin memaklumkan perkara itu semasa menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah WOAH Dr Emmanuelle Soubeyran semalam.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam pertemuan itu, Chan merakamkan penghargaan Malaysia terhadap sokongan berterusan WOAH dalam memperkukuh kapasiti veterinar negara, menggalakkan pelaporan penyakit yang telus serta memajukan piawaian antarabangsa berkaitan kesihatan haiwan.

Turut dibincangkan ialah usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh penyelarasan pendekatan One Health merentasi sektor kesihatan haiwan, kesihatan awam, hidupan liar, kesihatan haiwan akuatik dan alam sekitar. 

“Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai WOAH Performance of Veterinary Services (PVS) Pathway yang terus berperanan sebagai instrumen penting dalam menyokong penambahbaikan berterusan Perkhidmatan Veterinar Malaysia,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan Chan juga berkongsi perkembangan terkini berkaitan beberapa inisiatif utama negara, termasuk pelaksanaan Pelan Hala Tuju National Bridging Workshop (NBW), Strategi Pembasmian Rabies Malaysia serta usaha memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi penyakit haiwan rentas sempadan dan ancaman penyakit zoonotik yang semakin meningkat. 

Menurut KPKM, kunjungan hormat itu memperlihatkan pengiktirafan WOAH terhadap komitmen Malaysia untuk membangunkan sistem kesihatan haiwan yang lebih bersepadu, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. 

“Ia juga mengukuhkan komitmen Malaysia dan WOAH dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi cabaran kesihatan haiwan dan penyakit zoonotik,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement