NATIONAL
Malaysia yakin AIF jadikan ASEAN lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif - Amir Hamzah

Amir Hamzah berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 sentiasa menyokong penuh evolusi tabung tersebut ke arah usaha mewujudkan ASEAN sebagai rantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tabung Infrastruktur ASEAN (AIF) adalah mekanisma yang penting untuk menangani cabaran yang wujud dalam pembangunan infrastruktur serantau, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 sentiasa menyokong penuh evolusi tabung tersebut ke arah usaha mewujudkan ASEAN sebagai rantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif.
Amir Hamzah berkata, Malaysia juga berasa bangga melihat kemajuan yang dicapai daripada dana tabung tersebut, serta visi transformasi yang diterapkan, dan negara ini juga yakin AIF bakal mencapai potensi penuhnya dalam masa terdekat.
“Kami ingin menzahirkan penghargaan kepada Lembaga Pengarah AIF atas komitmen yang ditunjukkan, serta sokongan dan pengesahan Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan ASEAN (AFMM) terhadap Pelan Tindakan 2025-2028, serta memberi penekanan terhadapnya sebagai salah satu Priority Economic Deliverables (PED) Malaysia, serta Bank Pembangunan Asia (ADB) sebagai pentadbir AIF, atas semua usaha yang menjadikan semua ini sebagai realiti,” katanya lagi.Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancarkan Pelan Tindakan AIF 2025-2028, sempena Persidangan Pelaburan ASEAN di ibu negara, pada Khamis.
Dalam pada itu Amir Hamzah berkata, sejak 14 tahun penubuhannya, AIF telah memainkan peranan kritikal untuk menyokong pembangunan infrastruktur serantau, seterusnya menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi, kesalinghubungan, dan meningkatkan kebajikan sosial merentasi negara anggota ASEAN (AMS).
Sejak penubuhannya, beliau berkata, AIF telah membiayai 15 projek mercu tanda dalam pelbagai sektor seperti pembangunan luar bandar dan sumber asli, pengangkutan, tenaga, air dan pembangunan bandar.
“Kesemua projek ini bukan sahaja penyediakan infrastruktur yang amat diperlukan, tetapi juga mewujudkan asas kepada ASEAN yang lebih terhubung, mewujudkan sinergi di antara negara anggota, melancarkan aliran perdagangan, dan menambahbaik akses kepada perkhidmatan dan sumber,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai Pemangkin Kemudahan Kewangan Hijau Asean (ACGF) yang dilancarkan pada 2019, Amir Hamzah berkata, ia berperanan dalam membantu negara-negara ASEAN mengakses sumber kewangan yang diperlukan untuk melaksanakan projek infrastruktur yang mesra alam.
“Sejak tahun 2024, AIF telah mengalami perubahan transformasi dalam pendekatannya terhadap pembangunan infrastruktur, melalui peralihan menjadi 'dana hijau' secara rasmi.
“Peralihan ini menandakan komitmen yang lebih kuat oleh AIF untuk menyokong projek infrastruktur yang mampan, rendah karbon, dan tahan iklim yang selaras dengan matlamat pembangunan ASEAN yang lebih luas,” katanya lagi.
Sebagai kesimpulannya, Amir Hamzah berkata, AIF akan terus berfungsi sebagai asas untuk cita-cita pembangunan bersama ASEAN, khususnya dengan pelancaran pelan tindakan tersebut.
“Ketika kita memulakan fasa baharu ini, marilah kita terus dipacu oleh visi bersama untuk ASEAN terhubung dengan baik, mampan, dan inklusif, serta mampu menangani peluang dan cabaran masa depan dengan ketahanan dan perpaduan,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami