NATIONAL
Malaysia-Brazil jalin kerjasama semikonduktor, jadikan Selangor hab reka bentuk cip Asia

Kerjasama ini disokong dua tonggak utama iaitu AWS Cloud Malaysia dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia. - Gambar SIDEC
PUCHONG: Malaysia dan Brazil memperkukuh hubungan strategik menerusi kerjasama dua hala dalam industri semikonduktor, yang menyaksikan syarikat teknologi Brazil, ChipInventor, memilih Selangor sebagai pangkalan pertamanya di Asia.
Majlis yang bertemakan "Delivering Next Gen of Chip Builders" itu berlangsung di Four Points Sheraton Hotel Puchong itu dianjurkan oleh Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) dengan kerjasama Kedutaan Brazil, AWS Cloud Malaysia dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata pemilihan Malaysia sebagai destinasi perluasan operasi oleh ChipInventor membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekosistem inovasi, bakat tempatan dan infrastruktur negara.
“ChipInventor membawa teknologi revolusioner menerusi platform reka bentuk cip berasaskan awan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan.Ia membolehkan sesiapa sahaja termasuk pelajar atau perniagaan kecil untuk mereka cip mereka sendiri tanpa kemahiran teknikal yang rumit,” kata Sze Han.
Platform ini juga diperkenalkan dengan konsep “Semiconductor as a Service”, yang menghubungkan cip terus ke perkhidmatan awan yang membolehkan syarikat memperkenalkan ciri pintar baharu dalam produk mereka, sekali gus menjana aliran pendapatan berterusan.
Kerjasama ini disokong dua tonggak utama iaitu AWS Cloud Malaysia dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia, di mana AWS menyediakan infrastruktur digital untuk menjalankan alat reka bentuk cip ChipInventor secara lancar merentas sempadan.
Sementara itu, Akademi Semikonduktor berperanan menyediakan latihan praktikal dalam reka bentuk cip dan prototaip kepada pelajar dan jurutera tempatan, selaras dengan aspirasi negara melahirkan 60,000 jurutera menjelang 2030 di bawah Rangka Kerja Strategi Semikonduktor Negara (NSS).
Ng berkata inisiatif ini menandakan peralihan peranan Malaysia daripada sekadar pengeluar kepada pemimpin dalam reka bentuk cip dan teknologi prototaip canggih.
“Ketika dunia berdepan cabaran global seperti tarif semikonduktor yang meningkat dan gangguan rantaian bekalan, Malaysia bersedia sebagai hab neutral yang berorientasikan inovasi untuk syarikat antarabangsa berkembang di Asia,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama Malaysia-Brazil ini adalah contoh bagaimana dua negara dari Global Selatan boleh memimpin industri teknologi tinggi melalui inovasi bersama dan kepercayaan bersama.
Menurutnya lagi, kerjasama ini bukan sekadar memperkukuh sektor teknologi, malah membawa limpahan manfaat termasuk peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan pertumbuhan ekonomi.
“Inilah masanya untuk institusi awam, syarikat swasta, universiti dan pelajar Malaysia turut serta dalam perjalanan transformasi ini,” tambahnya.
Malaysia menyasarkan pelaburan sebanyak RM500 bilion dalam industri semikonduktor menjelang tahun 2030.
ChipInventor menjadi antara pelabur awal yang bakal mencetuskan gelombang baharu inovasi reka bentuk cip dari Selangor ke rantau Asia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami