Skip to main content

Malaysia

‘Mama dikebumikan tidak sempurna’ - Kaki kiri, tangan kanan masih hilang

Mayat seorang wanita yang dikerat kepada beberapa bahagian dibuang di tempat pembuangan sampah di kawasan Taman Indah Permai, Sepangar pada Khamis lalu. Foto: Sinar Harian
Mayat seorang wanita yang dikerat kepada beberapa bahagian dibuang di tempat pembuangan sampah di kawasan Taman Indah Permai, Sepangar pada Khamis lalu. - Foto Sinar Harian

KOTA KINABALU: Selepas melalui detik sukar kehilangan ibunya, pemuda yang mendakwa dirinya anak kepada wanita mangsa bunuh dan dikerat memaklumkan bahawa jenazah ibunya telah selamat dikebumikan.

Namun, pengebumian tersebut terpaksa dilakukan walaupun dalam keadaan anggota badan tidak sempurna kerana masih terdapat bahagian badan yang dikerat belum ditemui.

Advertisement

Dalam siaran langsung di TikTok, beliau meluahkan rasa syukur apabila urusan pengebumian dapat diselesaikan hasil penemuan mayat ibunya oleh pihak polis dan pasukan forensik.

“Saya bersyukur mama sudah selamat dikebumikan. Kalau bukan kerana bantuan polis dan forensik, mungkin susah untuk jumpa mama,” katanya dalam siaran langsung tersebut pada malam Jumaat.

Menurutnya, walaupun sebahagian anggota badan berjaya ditemui, masih terdapat bahagian yang belum dijumpai ketika pengebumian dijalankan.

“Jumpa juga tetapi tidak semua, masih kurang anggota badan mama saya. Namun, terpaksalah dikebumikan kerana bimbang arwah tidak dapat disempurnakan segera.

“Yang kurang ialah kaki kiri dan tangan kanan,” jelasnya dalam nada sebak.

Beliau sebelum itu turut menceritakan kejadian berkenaan yang mempunyai kaitan dengan bekas tunang ibunya yang sebelum ini didakwa mempunyai perselisihan berkaitan wang pertunangan.

Menurutnya, ibunya pernah bertunang dengan lelaki tersebut, namun sepanjang tempoh itu mereka kerap bertengkar.

“Pada awalnya, mama saya bertunang dengan dia. Dalam tempoh dua hingga tiga bulan itu memang kerap bergaduh. Biasalah, pertengkaran seperti pasangan bertunang lain.

“Tetapi lama-kelamaan mama saya merasakan tidak mahu meneruskan hubungan itu,” katanya.

Beliau mendakwa pertelingkahan yang berulang menyebabkan ibunya mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan tersebut sebelum meneruskan kehidupan dan berkenalan dengan individu lain.

Dalam kejadian pagi Khamis lalu, mayat seorang wanita berusia 44 tahun yang dikerat kepada beberapa bahagian dibuang di tempat pembuangan sampah di kawasan Taman Indah Permai, Sepangar.

Bahagian anggota badan mangsa pada awalnya ditemui oleh pekerja lori sampah yang melakukan kerja pembersihan di lokasi tersebut sekitar jam 7 pagi.

Susulan penemuan mayat itu, dua suspek berjaya ditahan dan polis memaklumkan bahawa suspek utama berusia 71 tahun merupakan tunang mangsa.

Kejadian tersebut disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian

Must Watch Video