BANGI: Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) terus komited meningkatkan kedudukan negara sebagai 'Kerajaan Digital' melalui Projek Perkhidmatan Analitis Data Raya Sektor Awam (DRSA) 2.0.

Projek yang berlangsung bermula 2 Januari 2020 hingga 2 Julai 2022 itu melibatkan 22 produk data raya daripada 17 agensi dan kesemua produk data berkenaan telahpun siap dibangunkan.

Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr Yusof Ismail berkata, projek itu merupakan usaha pihaknya berkongsi pengetahuan, pengalaman dan melihat potensi produk data tersebut dalam mempertingkatkan sektor perkhidmatan awam.

"Aplikasi data raya sebagai salah satu teknologi berkembang (emerging technologies), adalah signifikan untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi organisasi melalui perancangan dan pembuatan keputusan yang tepat, berkesan dan inklusif berasaskan data.

"MAMPU sentiasa beriltizam dan terus berusaha merealisasikan hasrat kerajaan seperti digariskan dalam Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) untuk memacu transformasi digital sektor awam melalui pemanfaatan data dan teknologi digital," katanya ketika merasmikan Sesi Showcase Produk Data Raya Sektor Awam (DRSA) 2.0, di sini, pada Rabu.

Hadir sama Pengarah Bahagian Kerajaan Digital (BKD) MAMPU, Dr Fazidah Abu Bakar dan turut dihadiri oleh Ketua-ketua Setiausaha Kementerian serta Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan Jabatan.

Dalam pada itu, tambah Yusof, analitis data raya adalah proses menganalisis pelbagai jenis data sama ada berstruktur atau tidak berstruktur dari pelbagai sumber.

"Ia juga bagi mengenal pasti corak dan trend sehingga menghasilkan input (insights) yang berupaya membantu dalam membuat keputusan dengan cepat, tepat dan pintar.

"Oleh itu, dalam apa jua inisiatif lebih-lebih lagi era digital ini, data dan analitis data tidak dapat dipisahkan dan diakui sebagai alat kritikal memacu kejayaan," katanya.

Sementara itu, beliau menambah, sesi showcase pada kali ini adalah untuk memberi pendedahan dan kefahaman berkaitan data raya selain mengenal pasti, menggalakkan perkongsian data antara agensi yang dapat membantu perancangan, pengubalan dasar dan keputusan secara berkesan.

Sejak penganjuran DRSA pada 2015, MAMPU telah melaksanakan lebih 30 program kesedaran meliputi libat urus, taklimat, seminar dan roadshow.

Antara lain, 15 sesi khidmat nasihat dan perundingan, pembangunan 34 produk data secara coaching dan outsourcing, latihan kompetensi dan pensijilan bidang Sains Data kepada 331 penjawat awam serta pembangunan platform data raya untuk kegunaan bersama.