“Mana bukti pemimpin muda diberi ruang dan peluang dalam UMNO?”

Persoalan itu ditimbulkan Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Ahmad Muad`adzam shah Ya`akob.

“Kalau kita lihat di peringkat Parlimen, hanya ada lima orang pemimpin muda daripada Barisan Nasional (BN) berbanding jumlah 222 kerusi Parlimen,”

“Di peringkat Pemuda UMNO pula, bila sebut pemimpin muda hanya nama Khairy Jamaluddin saja disebut,” ujarnya.

Bagaimanapun tegas Muad`adzam, pemimpin yang lebih “senior” tidak perlu menganggap pertanyaan dibangkitkan itu sebagai desakan untuk menukar kepimpinan lama.

“Kita bukan menafikan pemimpin lama kerana kita akhirnya perlu ada satu kesaksamaan dalam pentadbiran barulah mendapat adunan kepimpinan yang lebih bersepadu” katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, parti tertua itu harus berani tunjukkan perubahan dan UMNO perlukan nafas baru dalam barisan kepimpinan demi memastikan ia terus kekal relevan.

Kritik biar kena cara

Dalam masa sama Muad`adzam berpendapat, menegur dan mengritik pemimpin dalam pentas perbahasan Perhimpunan Agung nanti perlu kena dengan cara.

Jelasnya, sekiranya amalan itu dilakukan secara terbuka, ia akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif yang akhirny akan mengeruhkan keadaan.

“Kritikan perlu ada, tapi dengan cara yang betul. Hari ini kalau kita kritik orang dengan cara terbuka, kita akan ada satu persepsi berlainan. Kadang kadang ada yang mengeruhkan keadaan yang akhirnya tak terima cara baik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Muad’adzam berkata, UMNO sendiri mempunyai pelbagai platform seperti mesyuarat bahagian dan cawangan yang boleh digunakan untuk menyalurkan rasa tidak puas hati kepada kepimpinan.

“Jadi kita perlu duduk dalam satu tempat yang tidak diketahui orang, bincang sama-sama perancangan dan dasar,”

Mengakui tetap menyokong amalan tegurdan kritik pemimpin, namun ia perlu dilaksanakan dengan cara terbaik tidak menyinggung mana-mana pihak.