IPOH: Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian semakin berkurang dengan hanya 18 orang daripada tujuh keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 25 orang daripada sembilan keluarga, semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 pagi ini, kesemua mangsa itu masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Titi Serong.
Kesemua mangsa juga dari Taman Aman Sejahtera dan Taman Desa Aman 1 yang ditempatkan di PPS itu sejak Khamis.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan ribut diramalkan berlaku di kesemua daerah kecuali Kerian, Manjung dan Bagan Datuk, petang ini.
-- BERNAMA