Jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di tiga negeri yang masih terjejas banjir sehingga 9 malam ini, menurun sebanyak 12 peratus kepada 27,181 orang berbanding 30,891 petang tadi.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 18,171 orang berbanding 20,619 orang yang ditempatkan di 94 pusat pemindahan di enam daerah terlibat.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, daerah Pekan masih menempatkan mangsa paling ramai iaitu 9,961 orang diikuti Temerloh (3,010), Maran (2,779), Kuantan (1,127), Bera (731) dan Jerantut (563).

Di PERAK, tiga pusat pemindahan banjir telah ditutup menjadikan 28 pusat pemindahan masih dibuka di lima daerah yang terjejas iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri itu memberitahu jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 4,956 orang daripada 1,385 keluarga berbanding 5,488 orang daripada 1,552 keluarga petang tadi.

Jumlah mangsa banjir di Perak Tengah menurun kepada 3,834 orang, manakala di Hulu Perak (594), Hilir Perak (304), Manjung (160) dan Kuala Kangsar (64).

Di KELANTAN, jurucakap MKN negeri berkata jumlah mangsa menurun kepada 4,054 berbanding 4,784 petang tadi, di empat jajahan iaitu Kuala Krai (1,817), Gua Musang (1,662), Tanah Merah (387) dan Machang (188).