Mangsa banjir di sekitar Kampung Sungai Rambai, Langkap, Teluk Intan yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan sejak malam Khamis lepas meningkat kepada 55 orang pada pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, mangsa terdiri daripada 14 keluarga membabitkan 29 lelaki dan 26 perempuan berbanding 12 keluarga yang ditempatkan ke PPS itu semalam.

"Bagaimanapun cuaca pada pagi ini tidak hujan dan pemantauan mendapati banjir mulai surut di kawasan terlibat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sejak Khamis lepas, seramai 50 mangsa dipindahkan ke PPS itu selepas rumah mereka dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat.

Operasi menyelamat mangsa banjir turut melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut portal info bencana JKM, paras air Sungai Perak di Sungai Bidor, Changkat Jong setakat ini adalah melebihi paras normal dan menghampiri paras berjaga-jaga iaitu 2.95 meter.

-- BERNAMA