IPOH:Mangsa banjir di beberapa kawasan di Perak meningkat mendadak kepada 381 orang setakat jam 7.15 pagi ini, berbanding hanya 86 orang malam tadi.

Mereka dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir yang melanda beberapa kawasan selepas hujan lebat petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa di Batu Kurau melonjak dari 10 orang daripada empat keluarga kepada 305 orang daripada 84 keluarga.

Menurutnya, mereka ditempatkan di tiga PPS di Dewan Orang Ramai Pantai Besar, Dewan Kampung Sungai Ara dan Sekolah Kebangsaan Pantai Besar Air yang dibuka mulai 10 malam.

Bagaimanapun, kata jurucakap itu dalam kenyataan pagi ini, bilangan mangsa banjir di Kampung Air Kuning dan Kampung Changkat Baru Matang di Taiping kekal 76 orang daripada 14 keluarga.


Katanya, 44 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al Barakah manakala 32 lagi daripada lima keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Air Kuning.

Pihak bomba masih melakukan pemantauan berterusan di lokasi berkenaan bagi memastikan keselamatan semua mangsa.