Skip to main content

Malaysia

Polis bantuan rakan strategik, jadi mata dan telinga PDRM

KUALA LUMPUR, 19 Sept - Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid (belakang kanan) memeriksa kawalan kehormatan anggota polis bantuan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) Siri 7/2026 di Pulapol hari ini. - fotoBERNAMA (2026)
Nik Ros Azhan (belakang kanan) memeriksa kawalan kehormatan anggota polis bantuan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) Siri 7/2026 di Pulapol hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Anggota polis bantuan merupakan rakan strategik utama yang bertindak sebagai mata serta telinga bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam. 

Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata peranan itu amat penting bagi menyalurkan maklumat dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

"Setiap anggota (polis bantuan) bukan sekadar bertugas sebagai penguasa dalaman di tempat kerja, malah turut melindungi pelbagai premis serta aset penting negara. 

"Dengan itu jagalah tingkah laku, tutur bicara dan keterampilan diri pada setiap masa kerana anda membawa imej agensi masing-masing dan pada masa yang sama turut membawa imej institusi polis bantuan serta PDRM," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penutupan Pembarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7 Tahun 2026 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini. 

Sebanyak 206 peserta terdiri daripada sembilan Pegawai Kanan Polis Bantuan dan 197 Pegawai Rendah Polis Bantuan daripada 26 agensi berjaya menamatkan latihan tersebut. 

Kesemua peserta menjalani latihan asas selama 63 hari di PULAPOL Kuala Lumpur bermula 19 Julai lepas. 

Sementara itu, Nik Ros Azhan turut memberi amaran berkaitan isu integriti dengan mengingatkan anggota agar tidak menyalahgunakan kuasa, menerima rasuah atau melanggar undang-undang. 

Beliau menegaskan integriti bukanlah sekadar slogan sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan, memandangkan penglibatan dalam masalah disiplin atau jenayah akan menjejaskan nama baik agensi serta PDRM. 

"Ingatlah, sekali kepercayaan masyarakat hilang, amat sukar untuk diperolehi kembali," tegasnya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement