Skip to main content

Politik

Bakal ada penjajaran baharu? Azmin dedah Bersatu mula 'digamit' pelbagai pihak

FB Muhyiddin Yassin
Mohamed Azmin ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Bersatu di Petaling Jaya pada Sabtu. - Gambar Facebook Muhyiddin Yassin
Advertisement

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi bayangan terbuka terhadap sebarang kemungkinan jalinan kerjasama politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan, parti itu kini mula didekati dan 'digamit' oleh pelbagai pihak yang cuba meninjau langkah politik Bersatu. 

Malah, beliau menyifatkan isyarat tersebut umpama 'ada pihak yang menghulur tangan dan melemparkan senyuman', sekali gus membuka ruang perbincangan yang lebih luas. 

"Hari ini pelbagai pihak sedang menggamit-gamit kita, pelbagai pihak sedang mengintai-intai langkah Bersatu. 

"Ada yang menghulur tangan saudara-saudari, ada yang menyampaikan salam kepada kita, ada yang melemparkan senyuman kepada Bersatu. 

"Salam dan senyuman akan disambut dengan kebijaksanaan demi membela Malaysia yang menjamin kemakmuran untuk anak watan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Bersatu di sini, malam ini. 

Menarik perhatian hadirin, Mohamed Azmin turut menyentuh mengenai lokasi penganjuran majlis malam ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang disifatkannya penuh signifikan.

Menurutnya, buat julung kalinya Bersatu dibenarkan menggunakan kemudahan dewan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi program politik parti, suatu perkembangan yang dilihat memberi gambaran serta isyarat tersirat daripada Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Astro AWANI difahamkan terdapat rundingan yang sedang berlaku di antara Bersatu dan parti yang berada di dalam kerajaan ketika ini dan perkara itu dibincangkan dengan mendalam pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang berlangsung awal hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin menegaskan, sikap tenang parti itu sebelum ini tidak wajar disalah tafsir sebagai tanda kelemahan. 

"Diam tidak bererti kita lemah, sunyi tidak bererti kita mengalah. Kita muda dan segar dengan idea dan pemikiran zaman," jelasnya. 

Menyentuh mengenai perjalanan sedekad parti itu, bekas Menteri Kanan itu berkata, Bersatu kini berada pada fasa kematangan selepas menempuh pelbagai cabaran, mehnah serta fitnah politik. 

Momentum parti itu turut diperkukuh susulan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang membebaskan dan melepaskan sepenuhnya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan. 

Jelas Azmin, pembebasan tersebut menyuntik nafas dan keyakinan baharu kepada kepimpinan parti untuk terus mengorak langkah menuju ke Putrajaya. 

"Hari ini, insan yang memimpin Bersatu bangkit dengan keyakinan baharu, tenaga baharu, keberanian baharu untuk memimpin masa depan Malaysia yang lebih gagah, perkasa, dan bermaruah. 

"Masa Bersatu akan tiba, kita akan tiba di gerbang jaya, Putrajaya insya-Allah," katanya. 

 

Must Watch Video

Advertisement