KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Perak terus mencatatkan penurunan, manakala di Terengganu meningkat sedikit setakat pagi ini.
Di SELANGOR, jumlah mangsa yang masih berlindung di PPS menurun kepada 1,375 orang daripada 393 keluarga berbanding 1,468 orang daripada 416 keluarga semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lapan PPS di Kuala Selangor masih beroperasi, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela yang menempatkan 385 mangsa, diikuti SK Parit Mahang (274), SK Sultan Abdul Aziz (219), Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan (126) dan SRA Batu 8 Ijok (120).
Selain itu, sebanyak 105 mangsa berlindung di Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah, SRA Bukit Kuching (84) dan KAFA Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (46), manakala Balai Raya Kampung Sungai Kelambu di Kuala Langat menempatkan 16 mangsa.
Di PERAK, jumlah mangsa yang ditempatkan di lima PPS di empat daerah terus menurun pagi ini kepada 325 orang daripada 97 keluarga berbanding 348 orang daripada 104 keluarga semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan mangsa banjir di Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai di daerah Manjung kekal dengan 129 orang daripada 38 keluarga, manakala Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak menempatkan 85 orang daripada 27 keluarga.
Di Kerian, jumlah mangsa berkurangan kepada 101 orang daripada 28 keluarga termasuk sembilan mangsa tanah runtuh daripada dua keluarga yang masih berlindung di SK Bukit Merah dan SK Parit Haji Aman, manakala di Larut, Matang dan Selama jumlah mangsa kekal 10 orang daripada empat keluarga yang berlindung di SK Batu Hampar.
Sementara itu, di TERENGGANU jumlah mangsa di Kuala Nerus meningkat sedikit kepada 125 orang berbanding 118 orang semalam.
Berdasarkan portal InfoBencana JKM kesemua mangsa daripada 38 keluarga itu kini ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal yang mula beroperasi sejak malam semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Mohd Roslan Omar berkata pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan mangsa di daerah tersebut hari ini berikutan hujan yang masih berterusan.
“Kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa. Unit Pusat Gerakan Cepat juga telah diaktifkan yang akan bertindak pantas dalam menyelamatkan mangsa apabila maklumat diterima,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS itu, semalam.
-- BERNAMA