Ringkasan AI
- Ketiadaan manifesto bersama Kerajaan Perpaduan menyukarkan rakyat menilai prestasi pentadbiran sejak penubuhannya pada November 2022.
- Penganalisis menegaskan perbezaan ideologi parti perlu diatasi dengan mencari titik persamaan sebagai kerangka pentadbiran bersama.
- Rakyat masih menilai kerajaan berdasarkan janji politik terdahulu kerana tiada manifesto pasca pembentukan Kerajaan Perpaduan.
KUALA LUMPUR: Ketiadaan manifesto bersama yang menggariskan hala tuju dan sasaran Kerajaan Perpaduan sejak pembentukannya pada November 2022 menyukarkan rakyat membuat penilaian objektif terhadap prestasi pentadbiran sepanjang empat tahun lalu.
Penganalisis Politik merangkap Konsultan Kanan Asia Global Consulting, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata perbezaan ideologi dan aspirasi parti-parti politik yang membentuk kerajaan sepatutnya ditangani dengan mengenal pasti titik persamaan untuk dijadikan kerangka pentadbiran bersama.
“(Ketua-ketua parti politik dalam kerajaan sepatutnya buat sidang media dan jelaskan) Betul, hala tuju kami berbeza. Kita ada yang nak buat A, ada yang nak buat B, ada yang tak setuju nak buat A ataupun B. Tetapi di manakah titik pertemuan tersebut? Harus dijadikan garis panduan supaya rakyat boleh menilai.
“Rakyat menilai apa yang pernah dijanjikan 10 tahun dahulu, 20 tahun dahulu kerana tidak ada sesuatu pun yang diberikan garis panduan kepada rakyat, ini yang kita akan laksanakan,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru di pada Khamis.
Kerajaan Perpaduan dibentuk susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 apabila tiada mana-mana gabungan politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Pada 16 Disember 2022, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) memeterai Perjanjian Persefahaman Kerjasama bagi menjamin kestabilan politik, memacu ekonomi serta memperkukuh kerjasama dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof. Madya Dr. Yusri Ibrahim berkata, meskipun terdapat perjanjian persefahaman antara parti-parti yang membentuk kerajaan, ketiadaan manifesto bersama menyebabkan penilaian rakyat masih berpandukan janji politik terdahulu.
Keadaan itu, menurut beliau, menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berdepan tuntutan untuk merealisasikan janji-janji yang dibuat sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Tetapi manifesto pasca pembentukan itu tidak ada. Akhirnya penilaian awam pergi kepada kepelbagaian dan akhir sekali siapa yang mengetuai kerajaan? Perdana Menteri.
“Dan itulah yang dihujani dengan segala janji, dituntut janji era-era dahulu. Kalau boleh, dituntut segala-galanya dalam tempoh empat tahun,” katanya.