KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Selangor dan Perak terus meningkat pagi ini dengan sebanyak 1,404 orang daripada 374 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri berkenaan berbanding 1,269 orang semalam.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 1,206 mangsa daripada 316 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS, berbanding 1,160 orang daripada 338 keluarga di 10 PPS semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 9 pagi, lima PPS masih dibuka di Kuala Selangor, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang yang menempatkan 62 mangsa daripada 15 keluarga, SK Desa Aman (623 mangsa, 150 keluarga), SK Dato’ Maharaja Lela (148 mangsa, 51 keluarga), SK Jaya Setia (77 mangsa, 26 keluarga) dan Sekolah Agama Batu Lapan Ijok (67 mangsa, 19 keluarga).
Di Shah Alam, PPS di SK Merbau Sempak menempatkan 41 mangsa daripada 10 keluarga, Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang (47 mangsa, 11 keluarga) dan Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Seksyen U5 (65 mangsa, 16 keluarga).
Di Klang, bilangan mangsa yang berlindung di Dewan Masjid Al-Taqwa, Bukit Kapar ialah 76 mangsa daripada 18 keluarga.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir dan ribut meningkat kepada 198 orang daripada 58 keluarga pagi ini berbanding 109 orang daripada 28 keluarga malam tadi melibatkan daerah Hilir Perak dan Manjung.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam kenyataan memaklumkan satu lagi PPS dibuka pada 10 malam tadi, iaitu di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) berikutan pertambahan mangsa banjir di Hilir Perak.
“Sebanyak 137 orang daripada 40 mangsa ditempatkan di PPS Dewan MPTI Langkap, manakala 35 mangsa daripada 11 keluarga berlindung di Dewan Rumah Rehat MPTI membabitkan penduduk Kampung Batu 8, Batu 9 dan Batu 7 ½ di Changkat Jong serta Kampung Batu 11 ½ Jalan Bidor,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, seramai 26 orang daripada tujuh keluarga yang terjejas akibat bencana ribut masih berlindung di PPS Dewan Komuniti Manjung.
Mereka merupakan penduduk dari Pekan Beruas, Taman Beruas, Taman Desa, Perumahan Awam, Taman Seri Delima, Taman Limau Emas, Taman Anggerik, Kampung Kilang, Kampung Dendang dan Kampung Paya Lima.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut di kesemua daerah kecuali Manjung dan Bagan Datuk pada petang ini.
-- BERNAMA