Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di Selangor turun kepada kepada 484 orang malam semalam berbanding 696 petang semalam, manakala di Sarawak jumlah mangsa kekal lima orang.

Di Perak, sehingga pukul 10 malam semalam seramai 22 orang dari enam keluarga masih berada di pusat pemindahan di Sekolah Agama Rakyat, Kampung Padang Serai, Manjung, kata portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meminta penduduk di kawasan sekitar Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat; Sungai Labu di Kampung Salak Tinggi, Sepang dan Sungai Klang di Selat Muara Klang, Klang berwaspada berikutan paras air di ketiga-tiga sungai itu melebihi paras amaran.

Paras air Sungai Repoh di Kampung Repoh, Kangar dan Sungai Rembau di Titian Bintangor, Rembau, Negeri Sembilan turut melebihi paras amaran iaitu masing-masing mencatat 4.25 meter dan 6.84 meter, kata JPS dalam portalnya.