BATU PAHAT: Jumlah mangsa banjir kilat di daerah ini meningkat kepada 163 orang setakat 9 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu melibatkan seramai 38 buah keluarga yang terjejas di sekitar kawasan Sri Gading.

"Angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 83 mangsa terdiri daripada 20 keluarga yang dilaporkan terjejas pada jam 4 petang tadi

"Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sri Gading.

"Mangsa yang terlibat terdiri daripada penduduk-penduduk di Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Batu Sri Gading dan Pekan Seri Gading," katanya.

Jelasnya, punca banjir kilat di daerah itu berikutan pertembungan hujan lebat yang bermula dari jam 1.30 pagi sehingga 4.00 pagi tadi dan disusuli fenomena air pasang besar yang memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan berkenaan.

Menurutnya lagi, pemantauan di lokasi bencana sedang giat dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

Ia turut dibantu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Meteorologi Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan serta lokaliti yang lain.

"Setakat ini, hanya satu PPS yang masih beroperasi dan menempatkan mangsa-mangsa banjir kilat sejak 1.30 pagi tadi.

"Bagaimanapun keadaan cuaca dilaporkan cerah setakat jam 9.00 malam," tambahnya.