Jumlah mangsa banjir kilat pada hari kedua di Melaka menurun kepada 934 mangsa melibatkan 212 keluarga pada 8 malam, berbanding 1,001 mangsa (225 keluarga) pada sebelah petang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata hanya tujuh buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih aktif.

Beliau berkata hanya sebuah PPS mencatat peningkatan mangsa, tiga buah PPS pula menurun dan tiga buah lagi tidak berubah.

"Hanya PPS Balai Raya Bukit Balai mencatat peningkatan iaitu 40 mangsa dari tujuh keluarga berbanding 34 orang dari tujuh keluarga pada sebelah petang," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, berkata tiga PPS yang jumlah mangsa berkurangan ialah PPS Krubong dengan 221 orang, dari 55 keluarga, PPS Taman Merdeka, 189 (46 keluarga) dan PPS Kampung Beringin, 46 (12 keluarga).

Katanya bilangan mangsa banjir di tiga lagi PPS iaitu PPS Balai Raya Panchor, PPS Sekolah Belimbing Dalam dan PPS Balai Raya Sungai Tuang, tidak berubah pada malam ini.

-- BERNAMA