KUALA LUMPUR: Mangsa buli siber lazimnya akan mengalami kesan psikologi berpanjangan lebih lama berbanding mangsa yang dibuli secara fizikal.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, beberapa kajian sebelum ini juga membuktikan kesan buli siber lebih buruk berbanding buli fizikal.

Menurutnya, antara faktor berlakunya situasi tersebut adalah buli siber biasanya berlaku secara senyap tanpa mangsa mengenali siapakah pembuli itu namun dalam buli fizikal, biasanya mangsa kenal dengan pembuli.

BACA: Kerajaan gubal undang-undang khusus tangani buli siber - Cybersecurity

BACA: Kesedaran buli siber sewaktu pandemik pastikan kesihatan mental, emosi terjaga

Justeru, katanya, kesan kepada mangsa lebih panjang memandangkan identiti pembuli langsung tidak dapat dikesan dan tindakan juga tidak dapat diambil.

“Kebanyakan orang akan berasa was-was atau ragu-ragu untu buli orang secara fizikal pada zaman ini kerana semua orang boleh rekod segalanya. Jadi mungkin ramai yang akan takut untuk buat perkara ini.

“Orang yang waras fikiran itu akan berasa takut tetapi dari buli siber itu, mungkin orang rasa tak perlu takut kerana mereka tak boleh dikesan, itu yang jadi masalah. Satu lagi perkara untuk lihat beza ‘cyber bully’ dan fizikal ini.


AWANI Pagi: Aspek keselamatan ketika dalam talian

“Dulu kalau buli fizikal, serta-merta guru dan semua akan masuk campur dan selesaikan. Mangsa akan berasa, oh, semalam kena buli, hari ini budak yang buli itu dipindahkan sekolah, dikenakan tindakan,” katanya kepada Astro AWANI.

Tegas beliau, tindakan pantas itu sedikit sebanyak mengurangkan kecenderungan berlakunya masalah psikologi kepada mangsa kerana melihat sendiri pembuli dihukum.

Justeru, bagi menangani buli siber yang banyak berlaku sejak kebelakangan ini, beliau mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil.

BACA: Hentikan buli siber dalam media sosial

“Kalau kita jadi mangsa buli, saya sarankan kalau seseorang itu buat tuduhan, fitnah yang tidak begitu serius, jangan balas, abaikan saja.

“Biasanya pembuli ini akan lebih agresif kalau ada reaksi. Selain itu, simpan bukti seperti tangkap layar supaya boleh buat aduan bukan saja kepada badan tertentu tapi kepada syarikat yang mengendalikan media sosial juga,” ujarnya.

Tambah beliau, dari aspek mental, pembuli biasanya berasa serba kekurangan dan dengan cara membuli orang lain, ia memberikan kesempatan untuk mereka tunjuk bahawa mereka ada kuasa.