KOTA BHARU: Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar wanita berusia 19 tahun yang ditemui mati dengan 61 kesan tikaman berhampiran kawasan sawah di Kampung Simah, Ketereh, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan penahanan suspek-suspek berkenaan dan berkata permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu hari ini.
Advertisement
Menurut beliau, kesemua suspek ditahan dalam satu operasi serbuan yang dijalankan pada awal pagi Sabtu di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.
“Hasil serbuan tersebut, polis menahan tiga lelaki berusia antara 19 hingga 66 tahun serta seorang wanita berusia 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Yusoff memaklumkan semua individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Ujian saringan air kencing turut mendapati kesemua mereka negatif daripada pengaruh dadah.
Dalam operasi yang sama, polis merampas dua buah kenderaan, dua unit telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar, empat unit pelapik kaki serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebat tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Polis berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan seterusnya diambil.