Ringkasan AI
- Masalah mendapan di laluan feri Kuala Kedah memerlukan penyelesaian jangka panjang untuk memastikan kelancaran operasi feri ke Langkawi.
- Pengerukan dilakukan setiap dua tahun, namun penyelesaian menyeluruh diperlukan kerana kekangan fizikal dan kos penambakan laut yang tinggi.
- Terminal penumpang baharu Kuala Kedah dijangka siap September 2027, membolehkan tiga feri berlabuh serentak dan meningkatkan keupayaan operasi.
ALOR SETAR: Masalah mendapan di laluan feri perairan Kuala Kedah memerlukan penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan bagi memastikan kelancaran operasi perkhidmatan feri ke Langkawi.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kerja-kerja pengerukan dilaksanakan secara berkala iaitu setiap dua tahun, bagi memastikan mendapan tidak menjejaskan kelancaran operasi di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata penyelesaian lebih menyeluruh perlu dirangka memandangkan masalah itu terus menjadi antara kekangan operasi di terminal berkenaan.
“Terdapat kekangan dari segi fizikal kerana lokasi terminal penumpang yang sedang dibangunkan itu berada di lokasi asalnya. Sekiranya kita mahu melakukan kerja-kerja penambakan laut atau penambakan kawasan baharu, kosnya terlalu tinggi.
“Jadi, kita sedang mencari penyelesaian jangka panjang untuk menangani isu mendapan ini dan kerja-kerja pengerukan memang dilaksanakan secara berkala,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah Negeri Kedah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Loke menggalakkan operator feri sedia ada dan baharu menyediakan lebih banyak perkhidmatan bagi meningkatkan kekerapan perjalanan untuk memenuhi keperluan pengguna.
Bagaimanapun, beliau berkata penambahan perjalanan bergantung kepada kemampuan operator dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk kos operasi, jumlah penumpang serta kekangan operasi.
Mengulas pembangunan terminal penumpang baharu Kuala Kedah yang disasarkan siap pada September 2027, beliau berkata kemudahan itu dijangka meningkatkan keupayaan operasi perkhidmatan feri di terminal berkenaan.
Katanya, kemudahan baharu itu membolehkan sehingga tiga feri berlabuh secara serentak berbanding hanya sebuah feri pada satu-satu masa ketika ini.
Pada majlis itu, seramai 351 pemandu teksi dan kereta sewa dari Kedah dan Perlis menerima baucar sumbangan bernilai RM1,000 setiap seorang.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat Ahmad Radhi Maarof.
-- BERNAMA