Skip to main content

Malaysia

Mangsa kedua insiden pelajar dirempuh kini stabil

KOTA BHARU, 25 Feb -- Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Mohd Azman Yacob ditemui pemberita selepas merasmikan Program Walkabout Bazar Ramadan Peringkat Negeri Kelantan 2026 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata pelajar berkenaan, Zara Akhtar Zamzuri, 13, sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II. - Gambar fail/Bernama

KOTA BHARU: Pelajar perempuan yang cedera parah dalam kejadian kemalangan di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam, kini dalam keadaan stabil.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata pelajar berkenaan, Zara Akhtar Zamzuri, 13, sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Advertisement

Beliau berkata berdasarkan penilaian awal mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan muka, namun kini berada dalam keadaan sedar dan stabil dengan bacaan tanda vital yang memuaskan.

"Kes ini masih dalam siasatan pihak polis, jadi kami memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini.

"Pihak kami akan terus memastikan pesakit menerima rawatan yang terbaik serta pemantauan rapi hingga pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, seorang pelajar, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi pelajar perempuan cedera parah selepas dipercayai dirempuh kereta dipandu guru wanita.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video