Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menemui mayat seorang lelaki dipercayai lemas di sekitar jeti memancing ikan di Jeti Bagan Datoh, pada pagi Khamis.

Mangsa, Mohd Fairul Nizam Ahmad, 37, yang berasal dari Selekoh, ditemui sekitar empat kilometer daripada lokasi di mana mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Pegawai Pertahanan Awam Bagan Datoh, SM Mohd Zaidi Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan
mengenai kehilangan mangsa pada Selasa malam.

"Mangsa ditemui pada jarak empat kilometer dari persiaran Kayan sekitar pukul 11.22 pagi, agak jauh daripada jeti di mana mangsa terjatuh.

"Kami mengambil masa agak lama untuk mencari mangsa walaupun skop pencarian diluaskan sekitar 15 kilometer radius berikutan hari gelap selama dua hari sebelum ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pagi ini.

Pihak berkuasa mengangkat mayat mangsa yang ditemui.

Mayat mangsa dijumpai empat kilometer dari tempat asal.
Sebuah pos kawalan bomba dibuka bagi mengumpulkan maklumat mengenai mangsa serta keseluruhan operasi dibantu oleh 23 anggota termasuk Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Mohd Zaidi berkata pihaknya menggunakan teknik surface-searching di kawasan permukaan dan sepanjang tebing sungai untuk mengesan mayat mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.