SEREMBAN: Seorang lelaki yang maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Balai Undang Sungai Ujong di sini pada awal pagi Ahad didakwa tergesa-gesa pulang ke rumah setelah selesai bertemu rakan-rakannya.

Mangsa, Mohamad Nor Safuan Ahmad Zalili, 35, merupakan anak sulung daripada lima beradik meninggalkan seorang isteri, Rushila Roslan, 26, dan empat orang anak berusia satu hingga lapan tahun yang mana dua daripadanya adalah anak tiri.

Menurut Rushila, dia mengetahui suaminya terlibat dalam nahas selepas anggota polis datang ke rumahnya di Taman Dusun Nyior Ampangan di sini kira-kira jam 6 pagi.

"Kali terakhir saya jumpa Allahyarham sebelum pergi kerja kira-kira jam 9 pagi Sabtu dan dia (Allahyarham) bekerja di sebuah pusat cucian kereta bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

"Kebiasaannya Allahyarham akan pulang ke rumah paling lewat lebih kurang jam 2 pagi namun sebaliknya berlaku semalam. Malah saya ada menghubunginya kira-kira jam 5 pagi kerana rasa tidak sedap hati tetapi panggilan tidak berjawab," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada Ahad.

Mengulas lanjut, Rushila berkata, dimaklumkan Allahyarham berkesempatan minum bersama rakan-rakannya di sebuah kedai makan selepas selesai bekerja sebelum didakwa pulang dalam keadaan tergesa-gesa.

"Ada rakan Allahyarham maklumkan, dia pulang paling lambat anggaran jam 3 lebih dan kelihatan kelam-kabut hendak pulang selepas selesai minum," katanya yang reda kehilangan suaminya itu.

Tambahnya, jenazah suaminya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Zaitun Indah, Ampangan selepas solat Zuhur pada Ahad.

Media pada Ahad melaporkan seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sebelum terbakar dalam kejadian awal pagi berhampiran Balai Sungai Ujong disini.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof dalam satu kenyataannya berkata, kejadian lebih kurang jam 4.50 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berumur 35 tahun dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah.

"Siasatan awal mendapati sebaik mangsa tiba di lokasi, kenderaan yang dipandunya telah hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu jalan.

"Akibat kemalangan itu, kereta tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan sehingga mengakibatkan pemandunya tersepit dan gagal keluar dari kenderaan sebelum kenderaan terbabit terbakar," katanya.

Nanda berkata,mangsa iaitu pemandu turut terbakar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.