KOTA BHARU: Jenayah rogol dalam kalangan remaja kini berada pada tahap yang membimbangkan, berdasarkan peningkatan kes saban tahun.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, situasi itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak supaya jenayah ini bukan sahaja mampu dikurangkan, malah dicegah.

"Apabila kita siasat, kita dapati kesedaran itu tiada dalam diri mangsa. Kalau kesedaran ini tiada, mungkin ia tidak dilaporkan. Kalau ada kesedaran, individu yang menjadi mangsa ini akan tampil.

"Sebaliknya, ramai yang dilihat tidak membuat laporan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Cinta Dan Air Mata Peringkat Zon Kelantan dan Terengganu, di sini, semalam.

Tambah Muhammad Zaki, tahap kesedaran masyarakat amat penting bagi memerangi jenayah rogol, dadah dan aktiviti 'scammer' di kalangan remaja.

"Sebab itu kita mahu masyarakat tahu betapa seriusnya masalah ini. Kesedaran masyarakat adalah penting bagi membendung jenayah ini," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Zaki berkata, fokus utama pihak polis adalah memberikan kesedaran tentang masalah gangguan seksual, rogol dan kes-kes jenayah seumpamanya.

"Ramai juga remaja terjebak dalam kes-kes scam seperti penipuan pekerjaan, soal cinta dan sebagainya," tambahnya.

Selain itu, katanya, jenayah dadah juga menjadi fokus ketiga pihak polis, bagi mencapai matlamat membanteras dan memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Ini kerana, di Kelantan, dadah Yaba amat popular, di mana pil ini amat mudah didapati dan ia juga dalam kemampuan mereka untuk mendapatkan dadah jenis ini," jelas beliau.

Muhammad Zaki berkata, dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), ia mampu menjadi platform untuk mendekati remaja, sekali gus membantu memberikan kesedaran dalam kalangan mereka.