SEREMBAN: Seorang murid lelaki berusia 10 tahun didakwa menjadi mangsa buli berulang kali oleh rakan sekelasnya termasuk perbuatan dipukul, ditarik kerusi sehingga terjatuh, ditampar serta ditendang di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini sejak tahun lalu.
Justeru, bapa mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan susulan pihak sekolah kemudian membuat laporan polis serta mengadukan perkara itu kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) pada 2 Oktober lalu.
Ketua Pegawai Perhubungan MHO, Daniel Khoo berkata, berdasarkan maklumat yang dikemukakan keluarga, kejadian pertama berlaku pada 16 Mei 2025 apabila mangsa didakwa dibelasah seorang rakan sekelas di dalam kelas yang berkunci dan disaksikan lima murid lain.
"Pada keesokan harinya, bapa mangsa membawa anaknya mendapatkan rawatan dan laporan perubatan menunjukkan terdapat bengkak serta lebam pada bahagian belakang badan dan kaki kanan.
"Mangsa didiagnosis mengalami kecederaan tisu lembut akibat trauma hentaman. Doktor turut mencadangkan supaya keluarga membuat laporan polis sekiranya kejadian berulang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Daniel berkata, keluarga mangsa mendakwa kejadian sama berulang pada Julai dan Ogos tahun ini apabila kanak-kanak terbabit sekali lagi mengalami kecederaan di sekolah.
Katanya, antara kejadian yang didakwa berlaku termasuk mangsa ditarik kerusi sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan pada belakang badan serta tangan kanan, selain ditampar dan ditendang rakan sekelas.
“Bapa mangsa turut mendakwa sejurus pihak sekolah mengetahui kejadian buli itu pada Ogos lalu, tindakan disiplin bukan sahaja dikenakan terhadap murid yang didakwa membuli, malah anaknya sendiri turut dikenakan tindakan.
"Keadaan itu dianggap tidak adil oleh keluarga mangsa dan menjadi antara faktor bapa kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis,” katanya.
Menurut Daniel, bapa mangsa juga mendakwa beliau pernah mengemukakan aduan secara peribadi kepada pihak pengurusan sekolah, namun kecewa apabila dicadangkan supaya anaknya dipindahkan ke sekolah lain.
Berikutan itu, beliau memaklumkan keluarga murid berkenaan berharap pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan negeri mengambil serius dakwaan tersebut bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa terjamin.
"Lebih membimbangkan, keluarga mendakwa selepas melalui beberapa kejadian berkenaan, anak mereka kini mengalami ketakutan untuk ke sekolah dan enggan memasuki kawasan sekolah.
"Keluarga berharap pihak sekolah dan agensi berkaitan dapat memandang serius perkara ini serta memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat untuk mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Daniel berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara menyeluruh kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri menetapkan salah laku buli sebagai salah laku berat yang tidak boleh dipandang ringan.
KPM menerusi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan bawah KPM turut menegaskan komitmen mewujudkan institusi pendidikan sebagai tempat yang selamat untuk murid, selain menyediakan tatacara pengurusan kes buli.
"Keselamatan anak-anak mesti diutamakan. Kami menggesa semua sekolah supaya segera menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima sebarang aduan sedemikian, bukannya menunggu sehingga keadaan bertambah teruk baharu bertindak,” katanya.
Daniel pada masa sama menggesa Jabatan Pendidikan negeri mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di bilik darjah dan kawasan koridor sekolah bagi membantu pemantauan keselamatan murid serta siasatan sekiranya berlaku insiden buli.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya menyimpan bukti sekiranya anak mereka menjadi mangsa buli fizikal atau menerima ancaman melalui internet dan telefon bimbit.
"Jika anak dibelasah di sekolah atau menerima mesej berunsur ancaman, ibu bapa perlu mendidik mereka supaya segera menyimpan bukti seperti gambar kecederaan atau tangkapan skrin mesej ancaman sebelum memaklumkannya kepada ibu bapa.
"Sekiranya terdapat kecederaan fizikal, laporan perubatan juga perlu disimpan dan ibu bapa boleh mempertimbangkan untuk membuat laporan polis bagi memastikan perkara itu mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya,” katanya.
Untuk rekod, KPM menyediakan saluran Aduan Buli yang khusus bagi aduan berkaitan buli dalam kalangan murid di sekolah bawah KPM, selain Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Keluarga atau mangsa yang memerlukan bimbingan berkaitan isu berkenaan boleh menghubungi MHO atau MCCC di talian 014-9946697. -Sinar Harian