Skip to main content

Malaysia

Mangsa tanah runtuh sepatutnya pulang ke Kota Kinabalu - Anak

SANDAKAN, 12 Mac -- Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Walter Kenson (tiga, kanan), yang mewakili kerajaan negeri, menyampaikan bantuan wang ihsan kepada Lionel Aaron Lingam, anak kepada mangsa tanah runtuh, mendiang Agustine Frederick J. Lingam, pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada waris mangsa tanah runtuh di pejabat MPS di sini hari ini.  Kerajaan negeri menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada waris Agustine Frederick J. Lingam yang meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian tana
Walter Kenson (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan wang ihsan kepada Lionel Aaron Lingam iaitu anak kepada mangsa tanah runtuh, Agustine Frederick J Lingam pada majlis penyerahan bantuan pada Khamis. - Gambar Bernama

SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berdekatan Bangunan Blok 10 di sini sepatutnya pulang ke Kota Kinabalu untuk bertemu keluarga pada Rabu.

Anak mangsa, Lionel Aaron Lingam, 45, berkata bapanya, Agustine Frederick J Lingam, 76, telah bersiap untuk ke Kota Kinabalu menaiki pesawat pada 11 pagi, namun hasrat itu tidak kesampaian akibat kejadian pagi semalam.

Advertisement

Beliau berkata, semua keluarga berada di Kota Kinabalu kerana bapanya berasal dari Beaufort dan membesar di Papar sebelum bekerja lebih 30 tahun di Sandakan, termasuk empat tahun dalam sektor perhotelan.

“Saya bergegas ke Sandakan selepas mendengar berita yang menimpa bapa, luluh hati. Beg baju dia sudah kemastiket penerbangan pun ada. Dia bersedia ke Kota Kinabalu tetapi malangnya berlaku bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan bencana daripada Kerajaan Negeri Sabah bernilai RM10,000 yang disampaikan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson, di sini, pada Khamis.

Lionel yang menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas bantuan tunai itu berkata, jenazah bapanya dibawa pulang ke Kota Kinabalu bagi upacara pengebumian, bagaimanapun lokasi tersebut belum ditentukan.

“Bapa cukup suka tinggal di Sandakan. Saya berterima kasih kepada agensi kerajaan terlibat dalam membantu mengeluarkan bapa daripada runtuhan tanah. Mereka lakukan dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, Walter berkata, MPS meletakkan satu notis penutupan sementara di Bangunan Blok 10, Lebuh 4, di sini, bagi menunggu hasil penyiasatan keselamatan struktur lereng bukit kawasan terjejas.

“Saya jangka siasatan itu akan mengambil masa beberapa hari, termasuk melihat kepada keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. Kita akan berusaha untuk mengeluarkan laporan teknikal secepat mungkin.

“Bangunan tidak boleh dimasuki kerana keadaan membahayakan dan penghuni bangunan itu kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Masyarakat Bandar Sandakan. Kita akan maklumkan status keadaan mereka,” katanya.

Turut disampaikan pada majlis itu ialah empat bakul makanan, masing-masing dua daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada Lionel.

Agustine maut tertimbus tanah runtuh di belakang sebuah hotel Bangunan Blok 10 di sini dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi semalam selepas cuba menghidupkan generator hotel akibat gangguan bekalan elektrik.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video